Firdaus dinobat pelajar terbaik KTC. 'Saya pernah gagal dalam pengajian'

Iklan
Firdaus (kanan) dinobatkan pelajar terbaik dengan CGPA 3.74.

Gagal sekali bukan bermakna gagal selamanya, demikian gambaran diberikan kepada graduan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang dinobatkan pelajar terbaik dalam Majlis Konvokesyen KTC Petronas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, Sabah.

Firdaus Ismail, 25, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.74 pernah melanjutkan pengajian di sebuah politeknik di Kuching namun tidak berjaya menamatkan pengajian apabila gagal di semester empat pada tahun 2017.

Iklan
Iklan

"Untuk mencapai kejayaan hari ini tidak mudah. Apa yang memotivasikan saya adalah kerana pernah gagal satu ketika dahulu.

"Namun pada 2019, TKC menawarkan peluang dan di sinilah tempat saya mencuba lagi. Saya bangkit dan gunakan sebaik mungkin peluang diberikan serta memotivasikan diri untuk menjadi pelajar terbaik," katanya.

Iklan

Anak jati Lahad Datu itu berkata, pengajiannya di pusat latihan tersebut memerlukan komitmen tinggi kerana mendapat tajaan sepenuhnya daripada Petronas.

"Kemudahan di pusat latihan sangat baik hingga memudahkan saya untuk memahami dalam pembelajaran. Ini kerana, selepas belajar secara teori, tenaga pengajar akan terus membawa kami kepada praktikal.

Iklan

"Justeru, saya belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya terpilih sebagai pelajar terbaik," ujarnya.

Firdaus menunjukkan plug dan sijil yang diterimanya menerusi pengiktirafan sebagai pelajar terbaik.

Diminta mengimbas semula bagaimana boleh melanjutkan pengajian di KTC, Firdaus berkata, dia sebelum ini bekerja di sebuah stesen minyak.

"Penyelia menasihatkan saya supaya cuba memohon untuk sambung pengajian di KTC kerana katanya, saya masih muda dan ada peluang.

"Saya tidak sangka mendapat tawaran masuk ke KTC dan dari sini, bermulalah pengajian saya di pusat latihan ini," maklumnya lagi.

Firdaus berkata, dia dalam perancangan untuk melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).

"Tetapi jika tidak berjaya, saya merancang mencari pengalaman di mana-mana syarikat yang berkaitan dengan minyak dan gas," katanya.

Sebelum itu, Firdaus turut menasihatkan rakan di luar sana supaya tidak berputus asa walaupun pernah berhadapan dengan kegagalan.

"Bagi mereka di luar sana yang telah gagal dan rasa mengalah, jangan pernah rasa berhenti berusaha kerana diri kita adalah yang terbaik cuma kita yang tidak menyedarinya.

"Apa yang ada cuma pinjaman, jadi gunakanlah sebaiknya supaya kita tampil jadi yang terbaik," akhiri Firdaus.