Keuzuran seorang ayah yang bergantung kepada tangki oksigen untuk memudahkannya bernafas tidak menghalang hadir menyaksikan anak sulungnya menerima Diploma Seni Bina di Majlis Konvokesyen Kali Ke-31 di Politeknik Port Dickson.
Jasni Mohd Noor, 52, yang juga Pensyarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, berkata, walaupun dalam keadaan uzur selepas disahkan menghidap penyakit kanser kelenjar air liur atau Adenoid Cystic Carcinoma, sejak setahun lalu.
"Walaupun saya sedang cuti sakit, itu tidak menghalang untuk hadir menyaksikan Jemima Saffieya (Jasni, 21) naik ke pentas menerima skrol Diploma Jurusan Seni Bina yang diadakan di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson.
"Bagi saya yang penting adalah mahu melihat wajah gembira anak sulung saya dan turut ditemani isteri, Jamilah Abbas, 51, juga pensyarah di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam serta dua anak lelaki," katanya.
Katanya, walaupun terpaksa membawa tangki oksigen setiap masa, namun itu tidak menghalangnya hadir bersama isteri dan dua lagi anak lelakinya.
"Sekarang Jemima sudah sambung belajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang Ijazah Pengurusan Projek, sejak setahun lalu, dan saya berbangga kerana dia ada kemahuan yang tinggi.
"Buat masa sekarang, saya terpaksa mengambil cuti yang panjang dan berharap ia tidak menjadi penghalang kepada kejayaan anak-anak saya," ujarnya.
Sementara itu, Jamima Saffieya berkata, dia terharu kerana ayahnya tetap mahu hadir biarpun agak uzur dan bergantung kepada tangki oksigen setiap masa.
"Dia kerap menghubungi saya sepanjang belajar di sini, malah turut bimbang selepas dia disahkan menghidap penyakit yang amat bahaya namun semangatnya cukup kuat, itu yang saya kagum dengan ayah," katanya.