Pelajar cemerlang jadikan ‘guni’ sebagai beg barang, warganet menangis!

Iklan
Fadhlina (kiri) membuat panggilan video kepada Rafida setelah mengetahui keadaannya yang menggunakan 'guni' sebagai beg barang ketika pendaftaran di UMS.

Tatkala pelajar lain membawa beg atau bagasi cantik ketika sesi pendaftaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelihatan seorang pelajar perempuan yang hanya menggunakan guni untuk mengisi barangannya pada hari bersejarah itu.

Rafida Zaiddin dari Sandakan, Sabah membawa beg berupa ‘guni’ di mana isi dalamnya adalah barang keperluan yang akan digunakan sepanjang pengajian.

Iklan
Iklan

Kisah kegigihan Rafida dengan ‘guninya’ telah mencetuskan rasa simpati dan sedih dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Malah, ceritanya itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek lantas terus menghubungi remaja berkenaan dan menguruskan serta-merta semua urusan kewangan serta keperluan yang diperlukan Rafida sepanjang pengajian.

Iklan

Catat Fadhlina di Facebooknya pada Ahad, Rafida merupakan seorang anak yang cerdik.

"Dia berasal dari bumi bertuah, Sandakan. Keputusan peperiksaannya di Matrikulasi Labuan sangat membanggakan.

Iklan

"Sedang mengikuti pengajian perakaunan di UMS. Bagaimana isu Rafida ini sangat dekat di hati saya? Kerana pada hari yang sama saya turut menghantar anak sulung ke universiti.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Cikgu Rahman dan rakan saya, Dr Abdullah Bade (pensyarah UMS) yang telah melaporkan keadaan anakanda Rafida Zaiddin,” maklumnya.

Fadhlina dalam hantaran sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia.

"Fly high, stand tall Rafida. Insya-ALLAH Rafida tidak perlu risau apa-apa tentang pengajian.

"Semuanya telah diuruskan dengan baik sehingga habis pengajian. Semoga ALLAH SWT memberkati pengajian anakanda Rafida,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dalam kenyataan di Facebooknya memberitahu, dia menerima pelbagai mesej mengenai cabaran yang dihadapi sebahagian pelajar baharu atau sedang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dan dirinya mengambil maklum akan perkara tersebut.

"Satu kes yang benar-benar menyentuh hati saya ialah kisah adik Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di UMS Kota Kinabalu dengan membawa karung guni sebagai bagasi.

"Hal ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida untuk menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan,” tulisnya.

Catatnya lagi, dia ( Mustapha) telah mengarahkan pihak pengurusan UMS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah untuk segera mengenal pasti pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.

Maklum Mustapha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjaga sepanjang tempoh pengajian dan sedia membantu kerana prinsip 'tiada pelajar yang harus terpinggir'.

"Bagi anak-anak siswa yang bakal mendaftar di IPTA dan IPTS seluruh negara, saya juga ingin mengingatkan supaya jangan ragu dan segan untuk menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing sekiranya memerlukan sebarang bantuan.

"Pelbagai bantuan kementerian sediakan mengikut keperluan anak-anak semua. Tinggal kenal pasti dan mohon. Insya-ALLAH ada penyelesaiannya.

"Teruskan semangat menuntut ilmu, percayalah usaha dan pengorbanan ini akan membuahkan hasil. Selamat maju jaya dalam pengajian. Kami di KPT sedia membantu,” jelasnya di Facebook.