Gadis yang tular menggunakan guni membawa barang ketika mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjelaskan situasi sebenar mengenai isu berkenaan.
Rafida Zaiddin, 19, berkata, dia tidak menyangka perkara itu menjadi tular dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak kerana penggunaan guni itu sebenarnya untuk memudahkannya membawa barang ke UMS.
"Saya tidak terfikir jadi viral lepas itu ada seorang senior datang ke bilik bertanya mengenai guni tersebut.
"Saya fikir ada orang terbawa atau hilang. Tetapi selepas itu dia ambil gambar dan menemubual saya," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Jelas Rafida lagi, dua beg dibawa ketika pendaftaran namun disebabkan dia menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu, Sabah, memerlukan dia terpaksa mengambil inisiatif untuk meletakkan barang di dalam guni tersebut.
"Saya dari Sandakan ke Kota Kinabalu dengan menaiki bas selama enam jam, jadi banyak barang yang mahu dibawa. Jadi saya masukkan separuh ke dalam guni sebab kalau diasingkan, risau tercicir.
Anak bongsu daripada dua beradik itu turut berkongsi mengenai perbualannya bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi panggilan video baru-baru ini.
Rafida berkata, ada pihak yang turut bertanya mengenai biasiswa dan memaklumkan ia akan diuruskan dengan secepat mungkin.
Bercerita mengenai keluarganya, Rafida berkata, dia turut membantu bapanya berniaga secara kecil-kecilan di pasar.
"Bapa saya berniaga dan kini dia masih lagi menjual buah-buahan dan sayur-sayuran berhampiran rumah di Kampung Sim-Sim," katanya yang bercita-cita ingin menjadi akauntan.