Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menyemak semula syarat kemasukan pelajar Orang Asli ke universiti itu.
Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar Orang Asli dapat belajar di situ.
"Sememangnya kita ada terima permohonan pelajar Orang Asli ke USIM, tapi kita tidak dapat tawarkan mereka ke sini kerana syarat utamanya adalah ada Bahasa Arab dan Pengajian Islam.
Beliau berkata, pada sesi pendaftaran kali ini, USIM menerima kemasukan pelajar Orang Asli yang pertama menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.
Menurutnya, pelajar yang menetap di Felda Tersang, Pahang itu sebelum ini berjaya menamatkan pengajian di peringkat Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains Asasi USIM.
"Hebatnya anak ini kerana dia juga seorang hafizah dan dia bercita-cita menjadi seorang doktor gigi dengan niat membantu komunitinya," katanya.
Sementara itu katanya, seramai 2,718 pelajar telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda di USIM bagi sesi kali ini.
Jelasnya, seramai 378 pelajar yang mendaftar adalah daripada kategori diploma universiti awam (UA), politeknik dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) tempatan serta luar negara.
"Fakulti yang menerima jumlah pelajar tertinggi adalah Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan 377 pelajar, Fakulti Ekonomi dan Muamalat seramai 372 pelajar dan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) 366 orang.
"USIM juga menerima pelajar antarabangsa seramai 61 orang yang mana paling ramai dari Singapura. Ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh peranan USIM sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa," katanya.
Tambahnya, sebanyak 31 peratus atau 723 calon pelajar daripada jumlah yang ditawarkan tergolong dalam kumpulan B40 atau keluarga kurang berkemampuan.
Jelasnya, ia termasuk memberikan kemudahan penangguhan bayaran yuran semasa pendaftaran dan membuka ruang kepada pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan daripada universiti serta pihak berkaitan.
"Jika ada pelajar yang tak cukup dana nak bayar yuran pendaftaran, tidak mengapa, datang dulu ke USIM dan kita akan bantu.
"Pernah dalam sejarah kami, kami mengambil pelajar itu di rumah untuk bantu dia datang ke USIM dan itulah keprihatinan kita bagi memastikan anak-anak tersebut dapat belajar," katanya.