UMT agih Dermasiswa Al-Ikhlas kepada mahasiswa baharu

Iklan
Sebahagian penerima zakat Dermasiswa Al-Ikhlas hasil sumbangan zakat perniagaan daripada pelbagai agensi korporat.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan komitmennya dalam menjaga kebajikan penuntut asnaf dengan mengagihkan sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas kepada 650 mahasiswa baharu yang berdaftar.

Sumbangan berjumlah RM325,000 disampaikan dalam majlis khas di UMT sempena Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu UMT sesi 2024/2025.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UMT, Profesor Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, Dermasiswa Al-Ikhlas yang bernilai RM500 setiap seorang adalah hasil sumbangan zakat perniagaan daripada pelbagai agensi korporat.

Ujarnya, sumbangan itu untuk meringankan beban kewangan pelajar dan membantu mereka memulakan pengajian di UMT dengan lebih yakin dan tenang.

Iklan

Dalam masa sama, beliau turut memuji peranan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT yang sentiasa berusaha meningkatkan dana zakat setiap tahun.

"Usaha berterusan yang diperkenalkan Pusat Islam Sultan Mahmud UMT termasuk pelaksanaan kempen ‘C to Z’ dan jerayawara ke Lembah Klang telah berjaya meningkatkan kutipan zakat hampir 100 peratus setiap tahun.

Iklan

"Pada tahun ini sahaja, UMT telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM1.26 juta kepada 2,429 pelajar asnaf,” jelasnya.

Mohd Zamri berkata, UMT juga memperkenalkan pelbagai inisiatif melalui program pembangunan asnaf seperti AsnafXChange, Asnaf+ dan AsnafPro.

Program AsnafPro yang bermula dengan pembiayaan kepada dua pelajar kini telah berkembang kepada 13 pelajar miskin cerdik dan akan terus dikembangkan agar lebih ramai pelajar asnaf dapat dibantu.

"Kami mahu memastikan pelajar UMT cemerlang tanpa dibebani oleh masalah kewangan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penerima manfaat zakat, Nur Najmil Basyirah Ramli lega setelah dimaklumkan sebagai penerima bantuan zakat.

"Banyak perbelanjaan diperlukan untuk membeli keperluan masuk ke universiti. Dengan adanya bantuan ini, saya rasa gembira kerana sekurang-kurangnya duit ini dapat membeli keperluan untuk memulakan kehidupan di kampus,” katanya yang bakal mengikuti program Sarjana Muda Pengurusan Maritim di UMT.

Nur Najmil Basyirah

Terdahulu, dalam majlis ikrar pelajar sesi kemasukan 2024/2025, Mohd Zamri mengingatkan para pelajar agar dapat menjaga tatasusila sebagai mahasiswa yang mempunyai kualiti dan nilai jati diri tinggi.

"Sebagai mahasiswa, adalah menjadi tanggungjawab dalam memenuhi kewajipan mematuhi akta, perlembagaan, statut, peraturan dan tatatertib yang berkuatkuasa di universiti ini. Namun, ia bukanlah bertujuan menyekat kebebasan dan langkah anda sebagai seorang pelajar.

"Semua perkara melibatkan pelajar hendaklah dilakukan secara berdisiplin. Hanya mereka yang berdisiplin akan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik,” ujarnya.