Kisah Rafida Zaiddin dari Sandakan, Sabah yang menggunakan ‘guni’ ketika sesi pendaftaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mendapat perhatian jutaan warga maya di negara ini.
Terbaharu, aktivis sosial kebanggaan Sabah, Adrian Edy Siaw Chee Hua telah datang ke UMS, 4 Oktober lalu semata-mata ingin bertemu dengan Rafida sekali gus menyampaikan hadiah sumbangan rakyat Malaysia kepadanya.
Menurut jejaka keturunan Sino Kadazan itu, Rafida seorang pelajar cemerlang yang mendapat 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah mencapai 4 flat di Kolej Matrikulasi Labuan.
"Saya sempat bertanyakan dia tentang cita-cita. Katanya, dia mahu menjadi akauntan yang berjaya.
"Kongsi Rafida, ayahnya hanya menjual sayur-sayuran di Sandakan, ibu suri rumah. Abang sulung pula terpaksa berhenti belajar kerana faktor kewangan dan kini dialah (Rafida) menjadi satu-satunya harapan yang dapat mengubah nasib mereka,” catat Adrian Edy di Facebook.
Mengulas lanjut mengenai hadiah untuk Rafida, Adrian Edy berkata, mahasiswa baharu UMS itu mendapat beberapa barangan sumbangan rakyat Malaysia yang pemurah.
"Saya bawakan laptop dan tablet buat Rafida untuk memudahkan urusan pembelajaran dia. Turut diberikan sedikit wang belanja sepanjang pengajian di universiti ini.
"Saya juga sempat berikan kata-kata semangat untuk terus berjaya dalam pengajian seterusnya dapat capai cita-cita sebagai akauntan.
"Ternyata, Rafida anak yang baik dan taat kepada ibu bapa. Walaupun hidupnya susah dia tetap mahu bahagiakan keluarga serta ingin bantu lebih ramai yang memerlukan,” tulisnya lagi.
Di akhir catatan, Adrian Edy merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan UMS kerana memudahkan urusan pertemuannya dengan Rafida.
"Terima kasih Pengurusan Hal Ehwal Pelajar, Masnahneh Masdin; Timbalan Ketua Pegawai Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Surdin Dulapah; Penolong Pegawai Tadbir Pusat Perakaunan; Faridah Sarbi; Pembantu Tadbir Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jovinia Liduin dan beberapa individu lain yang terlibat.
"Tidak lupa juga, terima kasih kepada semua yang mendoakan, menyumbang dana. Hanya Tuhan yang mampu balas kebaikan anda semua,” ujarnya.