Seramai 2,589 penuntut baharu dalam program sarjana muda sesi akademik 2024/2025 telah mendaftar diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Induk dan Kampus Cawangan Pagoh, Johor bermula 29 September lalu.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ir Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim, jumlah tersebut melibatkan 1,967 pelajar di Kampus Induk manakala 622 pelajar lagi di Kampus Cawangan Pagoh.
"Berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,437 orang atau 56 peratus adalah pelajar lelaki manakala 1,152 orang atau 44 peratus lagi merupakan pelajar perempuan.
"Kesemua mahasiswa baharu yang mendaftar diri di tujuh fakulti telah mengikuti sesi perkuliahan 2024/2025 sejak 6 Oktober lalu secara fizikal," katanya.
Terdahulu, mahasiswa baharu telah mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) selama lima hari sebagai persediaan menjadi warga UTHM.
Dalam masa sama, Ruzairi bersama Pegawai-pegawai Kanan universiti turut beramah mesra dengan pelajar dan ibu bapa yang hadir pada hari pertama pendaftaran berlangsung.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada penuntut yang terpilih sekali gus berharap mereka dapat menyahut cabaran menjadi individu cemerlang dengan memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran.
Sementara itu, Ruzairi berkata, UTHM turut menyediakan kemudahan fasiliti lengkap di sekitar kampus dan kolej kediaman serta bersedia menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.
"Saya amat berharap anak-anak pelajar dapat menggunakan peluang menyambung pelajaran di UTHM ini dengan sebaik mungkin dan harungilah setiap cabaran dengan penuh tekad dan kesungguhan,” katanya.