Berbaki dua hari lagi, seluruh warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak dijadual mengundi calon pemimpin Ketua Umum sesi 2025/2026.
Pengetuanya, Datin Khalilah Za'aba berkata, simulasi yang dipanggil sebagai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N2045 Bainun itu adalah salah satu proses pembelajaran dan pendedahan terhadap sistem demokrasi.
"Selain memberi pelajar pengalaman mengenai proses pilihan raya, simulasi ini juga mendedahkan mereka mengenai kepentingan peranan seseorang calon, pengundi dan petugas pilihan raya.
"Program ini juga berupaya mengaplikasi pedagogi dalam pengajaran dan pemudahcaraaan (PdPc) selari dengan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan buat pelajar,” katanya kepada Sinar Bestari.
Untuk rekod, proses pengundian PRK DUN N2045 Bainun yang berlangsung pada Jumaat ini dijangka membabitkan seramai 562 pelajar bertindak sebagai pengundi di empat saluran.
Ketika proses penamaan calon Khamis lalu, enam pelajar diumumkan sebagai calon Ketua Umum yang membawa parti Wira, Satria, Bugatti, BMW, Saga dan Inspira.
Keenam-enam calon membabitkan tiga pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan dijangka bersaing sengit meraih undi sebelum tibanya hari pengundian.
PRK DUN N2024 Bainun turut mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan memantau sepanjang proses pengundian pelajar.