Gamifikasi atau penggunaan elemen permainan dalam proses pembelajaran merupakan satu kaedah yang semakin popular dalam dunia pendidikan.
Merdeka Scavenger Hunt yang merupakan satu gabungan gamifikasi memainkan peranan penting meningkatkan penglibatan dan motivasi pelajar terutamanya dalam pembelajaran bahasa Inggeris dan pengetahuan tentang kemerdekaan negara Malaysia.
Merdeka Scavenger Hunt, program Signature bagi MELTA Pahang Chapter (MPC) diasaskan pada 2021 ketika Covid-19.
Permainan ini pada asalnya telah diadakan secara maya ketika itu bagi menyuntik semangat kemerdekaan dan pada masa sama menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang menyertainya.
Ia juga menggalakkan peserta secara maya untuk melibatkan diri secara holistik dengan banyak aktiviti menggunakan pelbagai sensori dan tidak terhad hanya kepada penglihatan, pendengaran dan pertuturan.
Malah ia juga menguji sensori psikomotor para pelajar yang menyertainya melalui pergerakan.
Pada 2023, Merdeka Scavenger Hunt buat julung kalinya diadakan di DRB Hicom University dan disertai pelajar sekolah menengah di sekitar Pekan dan juga pelajar antarabangsa.
Keunikan program ini adalah dengan pengisian pelbagai permainan di dalam satu program dengan menggunakan bahasa Inggeris bertemakan kemerdekaan.
Maju setapak
Pada tahun ini, Merdeka Scavenger Hunt telah maju setapak lagi apabila ia dilaksanakan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Pekan dan Gambang, Pahang.
Elemen permainan dalam pembelajaran bahasa Inggeris seperti petunjuk tersembunyi, cabaran dan ganjaran menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
Dalam program ini, pelajar terlibat secara aktif dalam menyelesaikan pelbagai tugasan dan teka-teki bahasa Inggeris mendorong mereka untuk memberi tumpuan penuh terhadap bahan dipelajari.
Penglibatan ini bukan sahaja meningkatkan pemahaman terhadap bahasa tetapi juga membantu mereka mengaitkan penggunaan bahasa Inggeris dengan pengalaman sebenar yang menyeronokkan.
Sistem ganjaran yang sering digunakan dalam gamifikasi seperti pemberian mata, lencana atau hadiah, membantu meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar.
Di Merdeka Scavenger Hunt, pelajar mendapat ganjaran apabila berjaya menyelesaikan setiap tugasan yang melibatkan penggunaan bahasa Inggeris.
Ini memberi pelajar dorongan untuk terus berusaha dan memperbaiki kemahiran bahasa mereka secara berperingkat.
Motivasi ini penting bagi mereka yang mungkin merasa sukar atau kurang yakin dengan penguasaan bahasa.
Selain itu, kaedah gamifikasi dalam Merdeka Scavenger Hunt menjadikan penggunaan bahasa Inggeris lebih relevan kepada pelajar dengan meletakkannya dalam situasi yang bermakna apabila soalan-soalan dan petunjuk yang diberikan berkait rapat dengan kemerdekaan dan semangat patriotisme.
Keadaan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami bagaimana bahasa boleh digunakan dalam situasi sebenar.
Melalui pendekatan ini, pelajar lebih mudah memahami perbendaharaan kata dan struktur ayat digunakan.
Aktiviti menarik
Merdeka Scavenger Hunt juga melibatkan aktiviti berkumpulan yang menuntut pelajar untuk berkomunikasi secara aktif dan bekerjasama antara satu sama lain.
Pelajar perlu berbincang dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah yang diberikan dalam bahasa Inggeris.
Ini membantu mereka meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara lisan, saling mendengar dan menyampaikan idea dengan jelas serta membina keyakinan diri menggunakan bahasa dalam interaksi sosial.
Elemen keseronokan dan persaingan sihat yang terdapat dalam gamifikasi turut mendorong pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan.
Mereka bersaing untuk menyelesaikan tugasan dengan pantas dan tepat, sambil berseronok dalam prosesnya.
Dalam program sama, pelajar teruja untuk mencapai matlamat permainan sambil mempelajari aspek-aspek bahasa seperti tatabahasa, kosa kata dan pemahaman teks.
Keseronokan ini membuatkan mereka lebih mudah menerima ilmu tanpa merasa terbeban serta paksaan.
Kaedah gamifikasi juga memberikan maklum balas yang segera kepada pelajar.
Dalam Merdeka Scavenger Hunt, pelajar akan mengetahui dengan serta-merta sama ada jawapan betul atau salah dan mereka berpeluang membetulkan kesilapan dengan cepat.
Maklum balas segera ini membantu pelajar memperbaiki kelemahan dengan serta-merta dan memberikan mereka perasaan pencapaian apabila berjaya menguasai sesuatu konsep atau kemahiran bahasa.
Cabar pelajar
Merdeka Scavenger Hunt yang berbentuk gamifikasi bertujuan untuk mencabar pelajar dalam mencari petunjuk yang berkaitan dengan sejarah, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan nilai-nilai patriotik Malaysia.
Setiap petunjuk diberikan dalam bahasa Inggeris di mana pelajar perlu menterjemah dan memahami makna setiap soalan dan arahan yang diberikan.
Aktiviti ini membantu pelajar berkomunikasi dan memahami penggunaan bahasa dengan lebih mendalam dalam konteks yang relevan kepada kehidupan seharian mereka.
Secara keseluruhan, program ini juga turut berjaya memperkukuhkan nilai-nilai seperti kerjasama, semangat setiakawan dan kepercayaan diri.
Dengan adanya gabungan elemen patriotisme dan pendidikan bahasa, pelajar dapat memanfaatkan pengalaman ini untuk membina jati diri yang lebih kukuh sebagai warganegara Malaysia yang berwawasan dan progresif.
Merdeka Scavenger Hunt dipercayai akan terus kekal relevan dalam menyuntik semangat patriotisme serta memupuk minat untuk berbahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar di Malaysia.
Maklumat Penulis:
1) Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA dan Penolong Ketua Chapter, MPC, Noor Azlinda Zainal Abidin
2) Profesor Madya, PBM dan dan Ketua Kluster Applied Linguistics PBM, Professor Madya Dr Noor Raha Mohd Radzuan
3) Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Assunta Convent, Kuantan, Pahang dan Ketua Chapter MPC, Noorjahan Sultan
4) Penolong Naib Canselor (Penjenamaan, Komunikasi dan Diplomasi Korporat), Pengarah Institut Kepimpinan Tun Ghazali Shafie, UCYP University dan Bendahari Chapter MPC, Suhaila Mukhtar
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my