"Saya masih tak percaya kehilangan tiga sahabat baik sekali gus," luah pelajar Jurusan Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Muhammad Hazarul Ashwaq Azhar, 20.
Menurutnya, arwah Khairil Anwar Jamaludin, 20 merupakan rakan sebiliknya manakala dua lagi mangsa iaitu Ku Adib Aizad Ku Azmi pernah menjadi rakan sebilik ketika semester satu dan seorang lagi, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 juga kenalan dan sahabat baiknya di universiti itu.
"Waktu kejadian saya tiada bersama mereka, cuma saya rasa tak sedap hati bila orang beritahu ada kemalangan dekat dengan kampus. Saya cuba telefon ketiga-tiga nombor kawan saya malangnya tapi tidak bersambung.
"Saya diminta oleh beberapa polis untuk mengecam mangsa yang meninggal dunia. Masa nampak motosikal dan mayat bergelimpangan atas jalan tu hancur hati saya.
"Ya ALLAH...betullah semua yang meninggal adalah semua kawan baik saya, sahabat yang sentiasa ada dengan saya. Saya rasa kehilangan, tak dapat nak gambar dengan kata-kata," ujar Muhammad Hazarul ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Hidayah, UiTM Dungun pada Khamis.
Menurut Muhammad Hazarul, kesemua sahabatnya itu tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum meninggal dunia namun sempat merakam kenangan indah bersama yang tidak dapat dilupakan.
"Paling saya sedih rakan sebilik saya, (Khairil Anwar). Saya sedih sangat sebab sebelum dia 'pergi' saya sempat belikan dia 'roti boy'. Itulah hadiah terakhir saya.
"Dia pun ada kongsi pada saya, dia beli baju baru untuk pakai pergi kelas. Dia tanya saya 'ok' tak, saya kata 'ok'. Malangnya dia tak sempat pakai baju tu untuk ke kelas. Dia sempat pakai baju tu depan saya je.
"Sebelum dia pergi pun dia ada ajak saya makan bersama tetapi saya tak pergi, saya kata saya penat. Ya ALLAH. Saya rasa menyesal sangat tak pergi waktu tu," ujarnya.
Pada malam Rabu, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki para pelajar ini dirempuh sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam di hadapan pintu masuk universiti berkenaan
Difahamkan, ketika kejadian keempat-empat mangsa baru sahaja selesai menikmati makan malam dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampus itu.
Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun.
Seorang lagi mangsa Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 turut meninggal dunia di lokasi kecederaan akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
Mangsa yang cedera parah ialah Mohd Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, masih dirawat di Hospital Dungun.
Jenazah Muhammad Akmal yang merupakan pelajar Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan akan dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam.
Jenazah Khairil Anwar, 20, Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor manakala jenazah Ku Adib Aizad, 20, pelajar Sarjana Muda Sains Perakaunan akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor.