Kesukaran Crisnanalina masuk universiti realiti sebenar anak pedalaman, KPT tampil bantu - Mustapha

Iklan
Crisnanalina (kiri) mahupun mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran ke universiti.

Prihatin dengan nasib pelajar dari Paitan, Sabah yang mengalami kesukaran membayar yuran pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyebabkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil mengambil inisiatif membantunya dalam pelbagai aspek bagi memastikan kebajikan penuntut itu sentiasa terjaga.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya mengambil maklum dengan bebanan yang dialami Crisnanalina Jumis, 20-an yang dilaporkan menerusi sebuah akhbar tempatan pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Benarlah pepatah 'seluruh warga kampung diperlukan untuk membesarkan seorang anak'. Saya cukup berterima kasih kepada media dan rakyat Malaysia yang sangat prihatin dengan peluang pendidikan tinggi untuk anak-anak Sabah.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau telah menerima taklimat dari pihak UMS bahawa Crisnanalina akan dibawa dari kampungnya untuk mendaftar di universiti tersebut pada Jumaat.

Iklan

"Kita cuba sedaya upaya untuk permudahkan urusan pendaftaran pelajar yang memerlukan.

"KPT melalui Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS juga akan padankan bantuan yang sesuai dan memastikan kos pengajian serta kebajikan pelajar terjaga.

Iklan

"Bantuan ini bukan hanya untuk kes adik Crisnanalina sahaja, bahkan tersedia buat semua siswa di institut pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai bantuan baik dari kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri boleh didapati melalui HEP universiti," katanya.

"Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan semua. Semangat prihatin sebegini harus diteruskan dalam kalangan rakyat sesuai elemen ihsan dalam gagasan Malaysia Madani.

"Saya doakan adik Crisnanalina selamat maju jaya di menara gading, kami di KPT sedia membantu," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor memaklumkan, beliau telah mengarahkan pihaknya berhubung dengan pelajar tersebut bagi memudahkan urusan pendaftaran kemasukan ke universiti.

"UMS amat prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami oleh Crisnanalina, justeru kita akan pastikan beliau akan menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti.

"Pihak Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluan beliau apabila berada di kampus, selain membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan yang berkaitan," katanya.

Mengulas lanjut, Kasim berkata, Crisnanalina mahupun mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran ke universiti.

"Ini kerana UMS telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah kewangan.

"Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

"Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar khususnya juga bersedia membantu pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Yayasan Sabah, Biasiswa MARA dan sebagainya," katanya.

Sebelum itu, Crisnanalina dilaporkan tidak mampu untuk mendaftar di UMS selepas keluarganya tiada kemampuan untuk menyediakan wang pendaftaran sebanyak RM3,000 dan perbelanjaan lain di UMS.