Kursi Pengajian Melayu ditubuhkan di Universiti Rusia

Iklan

Kursi Pengajian Melayu akan ditubuhkan di sebuah universiti di Rusia bagi memperkasakan pengajian Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang berada di St Petersburg, Rusia bagi mengetuai delegasi Malaysia membabitkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan Ke-3 (JCESTC 2024) berkata, beliau dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusi,a Valery Falkov bersetuju dengan cadangan itu.

Iklan
Iklan

"Hal ini akan dibincangkan lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.

"Ini juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi satu program dan kursus ditawarkan di beberapa universiti terkemuka di Rusia," katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Iklan

Zambry berkata, pengisian pembelajaran kursus berkenaan termasuk berkaitan kesusasteraan Melayu, sejarah Melayu serta latar belakang Melayu dan Nusantara.

Pada masa sama, beliau berkata, Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan itu akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama yang ditambah baik antara kerajaan Rusia dan Malaysia.

Iklan

"Saya juga mengemukakan cadangan untuk menghantar lebih banyak pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia, dan pada masa sama menjemput pensyarah dari Rusia untuk menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya kita," katanya.

Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ditubuhkan di beberapa institusi seluruh dunia seperti BFSU di China, Ohio University (Amerika Syarikat), Leiden University (Belanda), Victoria University (New Zealand) dan Hankuk University of Foreign Studies di Korea Selatan.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia ke JCESTC 2024, yang turut disertai wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Digital.

Pelajar Malaysia di St Petersburg

Sementara itu, di laman sosial Facebook, Zambry sebelum berangkat pulang ke tanah air meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan sembilan pelajar Malaysia yang belajar di St Petersburg.

"Jumlah keseluruhan pelajar Malaysia yang berdaftar dan belajar di Rusia adalah seramai 627 orang. Kesemua mereka berada di seluruh negara ini seperti di bandar Modcos, St Petersburg, Kursk, Nizhny Novgorod, Vlogograd dan Ufa.

"Sebelum pulang ke Malaysia, saya menjamu pelajar-pelajar ini makan malam sambil bersembang santai, bertanya khabar, mengambil tahu urusan belajar dan kehidupan mereka di sini dan adakala bercerita tentang latar belakang masing-masing," kongsi Zambry.

Zambry berkata lagi, para pelajar yang bertemu dengannya sempat bertanya mengenai perancangan masa depan pendidikan negara termasuk isu biasiswa.

"Banyak yang kami bualkan. Saya juga berkongsi tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang sedang dibangunkan dan usaha Kerajaan Madani di bawah pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Saya juga titipkan kepada anak-anak ini, belajar bersungguh-sungguh. Pengajian anda dibiayai oleh kerajaan. Gunakan peluang ini sebaiknya untuk berjaya dan kembali berbakti kepada masyarakat dan negara. Khidmat bakti anda diperlukan," tambah Zambry.