Impian Crisnanalina, Nor Fasha ditunaikan Tun Juhar

Iklan
Mohd Rashid (dua dari kanan), menyampaikan sumbangan komputer riba daripada Tun Juhar kepada Crisnanalina (dua dari kiri) dan Nor Fasha Natashya (kiri).

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membantu menunaikan impian dua pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang kurang mampu bagi memulakan pengajian di universiti itu.

Crisnanalina Jumis dan Nor Fasha Natashya Abdul Rahim menerima bantuan pendaftaran pengajian berserta komputer riba disampaikan Setiausaha Perhubungan Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir di universiti itu pada majlis yang turut dihadiri Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor, semalam.

Iklan
Iklan

Crisnanalina, 20, pelajar berasal dari daerah pedalaman Paitan meluahkan rasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tun Juhar, masyarakat dan pihak terlibat dalam membantu beliau untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhutanan.

"Pada mulanya, saya ingin menolak tawaran pengajian dan terus menyambung kerja sambilan di sebuah restoran, namun saya dimaklumkan oleh ibu saudara yang ada pihak ingin membantu jadi saya rasa amat bersyukur dan tidak akan mensia-siakan peluang ini," katanya kepada pemberita selepas penyampaian itu.

Crisnanalina (kiri) dan Nor Fasha Natashya menerima bantuan daripada Tun Juhar untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Iklan

Beliau berkata, bantuan yang diperolehi sangat membantu dalam urusan kemasukan ke universiti memandangkan pendapatan ibu bapa beliau yang bekerja sebagai petani dan suri rumah tidak mampu untuk menampung kos pengajian tersebut.

Nor Fasha Natashya, 20, berkata beliau juga hampir menolak tawaran pengajian berikutan kekangan kewangan yang dihadapi oleh keluarga namun berasa amat bersyukur apabila mendapat tahu urusan kemasukan beliau ke universiti akan dibantu.

Iklan

"Saya anak keempat daripada lapan orang adik beradik, bapa saya telah meninggal dunia dan ibu saya tidak bekerja, kami sekeluarga hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan," katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan.

Justeru dengan bantuan yang diperolehi, Nor Fasha bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor perubatan sekali gus memegang teguh harapan keluarga. - Bernama