Warga kampus Universiti Malaya (UM) termasuk pelajar dan kakitangan dinasihatkan untuk tidak mengikuti jalan masuk pagar Kuala Lumpur disebabkan oleh banjir yang berlaku di kawasan itu.
Menerusi video yang dimuat naik di X, air banjir sudah memasuki kawasan kampus dan dilaporkan agak tinggi parasnya.
"Kepada semua warga kampus pelajar dan kakitangan, jangan masuk ikut pagar Kuala Lumpur ke dalam UM di sebalah Masjid Ar Rahman kerana sekarang air banjir berada di paras agak tinggi.
"Air banjir juga turut melimpah di hadapan fakulti undang-undang dan di jambatan lingkungan budi,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pagi Selasa di beberapa kawasan dalam negara.
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda dan Bandar Baharu, Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau), Melaka, Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru), Sarawak: Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis).
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.