Memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan atau Foundation in Accountancy (FIA) dan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sebenarnya tidak mudah, selain memerlukan persiapan mental dan fizikal yang teguh.
Namun, ramai pelajar di negara ini sudah berjaya mencipta nama.
Bahkan ada di antara mereka menempa kejayaan dalam peperiksaan ACCA sehingga diangkat sebagai penerima tempat pertama Malaysia dan dunia.
Ia membuktikan bahawa pelajar Malaysia juga sama hebat dan mampu memperoleh keputusan membanggakan walaupun ada sesetengah pihak menganggap bidang ACCA ini paling mencabar.
Tertarik untuk mengetengahkan ACCA terutamanya buat pelajar sekolah menengah yang berminat untuk menyambung bidang perakaunan, Sinar Bestari kongsikan empat kisah pelajar yang sedang mengikuti program ini.
Semoga perkongsian ini dapat meredakan rasa bimbang pelajar tentang cabang pendidikan sekiranya ada yang memasang niat meneruskan pengajian perakaunan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.
Kisah 1
kisah bermula dengan ‘lari‘ daripada subjek Biologi sewaktu di sekolah menengah, Hasmalisa Idrus memutuskan untuk memilih Prinsip Perakauan.
Hasmaliza, 20, berkata, mulanya agak sukar untuk memahami subjek itu sewaktu di awal pembelajaran.
Namun lama-kelamaan rasa minat timbul dan kini dia menyambung FIA di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Kongsinya, bersandarkan rasa minat yang mendalam, proses mengikuti pembelajaran dalam bidang perakauan tidaklah sukar seperti yang disangka tetapi cabaran tetap ada.
"Pertukaran bahasa Melayu ke bahasa Inggeris adalah cabaran besar sepanjang tempoh mempelajari FIA.
"Sewaktu di sekolah menengah, subjek Prinsip Perakaunan diajar dalam bahasa Melayu tetapi menerusi FIA, semuanya dalam bahasa Inggeris.
"Agak sukar sebenarnya untuk saya memahami apatah lagi melibatkan istilah tertentu," katanya.
Anak kelahiran Selangor itu berkata, dia banyak membuat ulang kaji soalan menerusi buku exam kit bagi meningkatkan kefahaman, selain banyak bertanya kepada pensyarah.
Hasmalisa juga berazam menyambung pelajaran dalam ACCA sebelum belajar melebarkan sayap pendidikannya ke luar negara.
Kisah 2
‘Susah itu subjektif‘ antara kata-kata yang dilontarkan oleh Ahmad Maathuriddin Ahmad Hilmi setelah berjaya mendapatkan Certified Accounting Technician (CAT).
Pemuda berusia 22 tahun itu kini berada di tahun akhir ACCA Universiti Poly-Tech Malaysia UPTM).
Katanya, usaha adalah satu elemen penting buat pelajar yang ingin menguasai sesuatu ilmu khususnya dalam bidang perakaunan.
Anak kelahiran Temerloh, Pahang itu mengatakan, masih ramai terutama pelajar di kawasan kampung tidak mengetahui kewujudan ACCA walaupun mereka sebenarnya layak.
"Alangkah lebih baik sekiranya pendedahan mengenai ACCA ini dimulakan sejak di awal sekolah agar pelajar dapat merancang cabang pendidikan mereka setelah tamat belajar.
"Saya sendiri, Alhamdulillah ada rakan senior yang boleh dirujuk. Akhirnya saya di sini (UPTM) mengikuti program ACCA," katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Maathuriddin mengakui merancang untuk bekerja dalam firma audit terbesar, sebelum membuka firma sendiri di kampungnya.
Kisah 3
Meminati nombor sejak di Tingkatan Empat menjadikan Muhammad Dinie Mohd Hisham, 22, memilih mengikuti program ACCA di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
Katanya, minat itu didorong oleh guru di sekolah menengah yang memperkenalkan laluan ACCA.
Ditanya mengenai tahap kesukaran mengikuti program itu, Dinie mengakui ia tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja.
"Kita tidak boleh memandang rendah dengan program dan subjek lain kerana semuanya sama, tiada yang senang dan susah.
"Cumanya, ACCA ini memerlukan persediaan yang mantap dari aspek fizikal dan mental. Ia supaya pelajar bukan sahaja dapat menamatkan pengajian tetapi berjaya menjadi akauntan profesional," katanya.
Pemuda yang mesra dipanggil sebagai Dinie berkata, pemikiran positif penting untuk diterapkan dalam diri terutamanya buat pelajar lepasan SPM yang berniat mengikuti ACCA.
"Jangan labelkan ACCA ini susah, sebaliknya sentiasa berfikiran berpositif dan jadikan perkongsian kejayaan pelajar sebelum ini sebagai motivasi," katanya.
Kisah 4
Walau keluarga diduga masalah kewangan, ia tidak mematahkan semangat Sharifah Nur Balqis meneruskan pembelajaran selepas menamatkan peperiksaan SPM.
Memilih menyambung Foundation in Accountancy (FIA) di Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), gadis yang selesa dipanggil Balqis berkata, semangat dan kekuatan belajar sehingga meraih sijil ACCA demi mengubah nasib keluarga.
Meskipun bapanya mempunyai masalah penglihatan, Balqis, 20, tetap mendapat sokongan meneruskan pembelajaran ke peringkat tinggi.
"Ayah sudah lama ada masalah penglihatan dan ekonomi keluarga tidak besar kerana saya ada adik-adik yang masih bersekolah.
"Ayah tetap beri dorongan supaya saya terus belajar agar bantu keluarga suatu hari nanti," ujarnya.
Anak kelahiran Hulu Terengganu itu berkata, persepsi masyarakat mengenai ACCA sukar, tidak benar.
"Sekiranya pelajar itu sudah tahu minat dan arah yang ingin diikuti, maka proses pembelajaran akan jadi lebih senang," katanya.
Balqis turut menegaskan agar pelajar yang senasib dengannya untuk tetap bersemangat menuntut ilmu.
"Kalau kita dilahirkan sebagai orang susah, diri sendiri perlu ubah nasib keluarga kerana tiada siapa yang akan ubah untuk kita," ujarnya.