Crisnanalina dapat hadiah lagi! ‘Belajar baik-baik dik, semoga tercapai segala impian’ - Adrian Edy

Iklan
Crisnanalina (baju kurung) menerima tablet, kasut, beg dan stoking hasil sumbangan komuniti kepadanya. Terima kasih 'orang baik'.

Setiap kali kisah kesusahan komuniti terpampang di media sosial, pastinya aktivis sosial kebanggaan Sabah, Adrian Edy Siaw Chee Hua menjadi individu yang akan ‘turun padang’ membantu mereka.

Terbaharu, Adrian Edy menghadiahkan beberapa barangan kepada Crisnanalina Jumis, 20, yang menghadapi masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Dalam perkongsian di Facebook pada Khamis, jejaka keturunan Sino Kadazan itu berkata, perjalanan hidup bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas telah meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.

"Terharu sangat baca kisah adik Crisnanalina dari Kampung Dalamas Paitan. Dia merupakan anak sulung daripada lima beradik dan biasa dipanggil Nana dalam kalangan rakan-rakan.

Iklan

"Kisah keluarga mereka memang sedih. Tinggal jauh di pedalaman, rumah tiada kipas, lampu dan juga tiada elektrik.

"Sebelum Nana masuk universiti, dia sering menghantar adiknya ke tadika dengan hanya berjalan kaki sahaja. Paling sayu, jarak perjalanan mereka mengambil masa satu jam,” tulis Adrian Edy di Facebook.

Iklan

Apabila mendapat tahu yang Crisnanalina berjaya melanjutkan pengajian ke UMS, jejaka muda ini terus mengambil inisiatif untuk membantu gadis pedalaman itu.

"Saya ke sini (UMS) untuk hadiahkan Crisnanalina sebuah tablet (sumbangan orang ramai) bagi memudahkan proses pembelajaran dia. Turut diberikan sepasang kasut, beg dan stoking kepadanya.

"Ketika berbual-bual dengan dia, nampak yang Crisnanalina seorang anak yang sangat bertanggungjawab, bekerja keras dan mahu ubah nasib keluarga.

"Semoga apa yang diimpikan oleh Nana akan tercapai sekali gus dapat menggembirakan ibu dan bapanya,” ujarnya.

Dalam catatan sama, Adrian Edy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengurusan Hal Ehwal Pelajar, Masnahneh Masdin; Penolong Pegawai Tadbir Pusat Perakaunan, Faridah Sarbi; Pembantu Tadbir Kanan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jovinia Liduin dan beberapa individu lain yang terlibat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menyumbang dana kepada Crisnanalina.

"Hanya tuhan yang mampu balas kebaikan anda semua.

"Bila kita rasa kita susah, ada lagi yang susah daripada kita,” tulisnya lagi.