Hanya memiliki RM500, Vivian tidak mampu menyambung pengajiannya di UMK

Iklan
Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN berjumlah RM1, 000 kepada Vivian.

Seorang pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Vivian Koh Lik Ting, 20, berasal dari Kampung Pasir Parit, Chekok, Kelantan hanya mempunyai RM500 beberapa hari sebelum tarikh melaporkan diri ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Saya sepatutnya daftar pada 1 Oktober lalu, tetapi duit tidak cukup. Yuran yang dikenakan oleh pihak universiti ialah RM3,000.

Iklan
Iklan

"Disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian walaupun keputusan itu berat untuk dibuat namun hanya itu pilihan yang ada.

"Setiap malam saya menangis bila memikirkannya," katanya dalam nada sebak semasa ditemui pemberita pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu Vivian menerima kunjungan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwakili Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik) UMK, Profesor Dr Mohammad Ismail.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, ayahnya, Koh Boon Ting, 45, hanya bekerja mengambil upah mengecat kereta dengan pendapatan sebanyak RM500 sebulan manakala ibunya, Yap Ai Chen, 39, suri rumah.

Iklan

Ujarnya, dia turut menabung hasil bekerja di sebuah kedai kasut di Tanah Merah selepas selesai menduduki STPM namun masih tidak cukup untuk menampung kos menyambung pengajian.

Dia memberitahu, dua adiknya masih bersekolah sebagai pelajar Tingkatan Dua dan Empat, seorang lagi bekerja di kedai gunting rambut dan yang bongsu baru berusia setahun.

"Memikirkan saya tidak berkemampuan untuk meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Pelancongan, pilihan terbaik adalah menolak tawaran ini.

"Tetapi pada Ahad lepas bagaikan bermimpi apabila dihubungi Yayasan Raja Shamri memaklumkan pihak PTPTN dan UMK akan membantu saya menyambung pengajian," katanya.

Menurut Vivian, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu merealisasikan impiannya untuk bergelar mahasiswa.

Dalam kunjungan tersebut, dia telah menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN berjumlah RM1,000 serta pengecualian yuran sepanjang pengajian oleh UMK dan beberapa bantuan lain dari Yayasan Raja Shamri.

Tidak ketinggalan, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut mengadakan panggilan video bersama Vivian.