Tiga sekolah di Kemaman cuti peristiwa, alami kerosakan teruk akibat ribut

Iklan
Hampir 80 peratus bumbung di SMA Al-Falah mengalami kerosakan selepas diterbangkan angin dalam kejadian ribut pada petang Rabu.

Sesi persekolahan di tiga buah sekolah di daerah Kemaman, Terengganu ditangguhkan sehari pada Khamis bagi memberi laluan kepada cuti peristiwa akibat bencana.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Falah, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman dan SK Seri Kemaman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekolah itu mengalami kerosakan teruk akibat hujan batu dan ribut kencang yang melanda sekitar kawasan Chukai, di sini pada petang Rabu. Menurutnya, kebanyakan sekolah itu mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung blok akademik selain kebocoran pada bahagian kelas.

"Kita telah kenal pasti sebanyak tujuh buah sekolah menengah dan sekolah rendah yang terjejas akibat ribut yang melanda sekitar jam 4 petang semalam (Rabu).

Iklan

"Setakat ini, SMA Al Falah paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin diikuti dua buah sekolah yang lain," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Jelani berkata, empat lagi sekolah yang turut terjejas ialah SK Bukit Mentok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Sultan Ismail dan SMK Bukit Mentok beroperasi seperti biasa.

Iklan

Katanya, kerja-kerja pembersihan di semua sekolah terjejas akan dijalankan pada Khamis dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan sama, Jelani memberitahu, pihaknya kini sedang membuat penilaian berhubung kerugian sebenar yang dialami akibat bencana tersebut.

"Kita sudah maklumkan kejadian ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melancarkan proses pembaikian sekolah terlibat.

"Untuk SMA Al Falah, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Terengganu akan membuat permohonan daripada kerajaan negeri untuk proses pembaikian kerana sekolah ini merupakan sekolah agama di bawah kerajaan negeri," ujarnya.