200 pelajar UMS sertai Jelajah Hawana 2024 zon Sabah

Iklan
Nur-ul Afida dan Arul Rajoo bergambar bersama pelajar dan pensyarah FSSK, UMS sempena Program Jelajah Hawana 2024 Bersama Siswa bagi Zon Sabah pada Jumaat.

Seramai 200 pelajar dan pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 Bersama Siswa bagi zon Sabah pada Jumaat.

Sekretariat Hawana 2024 menerusi kenyataan memaklumkan, tiga sesi perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada topik terkini dunia media seperti Kewartawanan Peranti (MoJo), Fact Check dan ceramah bertajuk 'Klik Dengan Bijak' diadakan di kampus induk universiti itu di sini.

Iklan
Iklan

Sesi itu memberi panduan kepada pelajar tentang cara menghasilkan kandungan media yang berkesan dan kepentingan menyemak fakta bagi mendapatkan maklumat sahih selain mengekang penyebaran maklumat palsu.

Menerusi program yang bertujuan meningkatkan kefahaman mahasiswa tentang kewartawanan itu, warga institusi pengajian tinggi awam diberi pendedahan secara langsung mengenai dunia media.

Iklan

Sesi perkongsian daripada pengamal media berpengalaman membolehkan pelajar memahami cabaran dan peluang dalam dunia kewartawanan, sekali gus menanam minat mendalam terhadap kerjaya berkenaan.

Tiga pelajar UMS (dari kiri), Mohamad Hafiezan Fiezal Harun, 22, Nurafidah Binti Mudding, 22, dari Tawau dan Alief Suhaifrie Bin Asry, 22, dari Kota Marudu antara yang menyertai Program Jelajah Hawana 2024 bagi zon Sabah di UMS.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hawana 2024 menyampaikan sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada FSSK, UMS.

Iklan

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Rosalam Sarbatly dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek Hawana 2024, Arul Rajoo Durar Raj.

Program jelajah bersama siswa itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional 2024 yang melibatkan enam zon iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Pantai Timur dan Selatan.

Perasmian program jelajah itu disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching pada 25 Mei lepas dan program pertama diadakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Hawana 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.