Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dapat membantu komuniti setempat melalui penubuhan dua koperasi di Mukim To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad berkata, Koperasi Masjid Ali Berhad dan Koperasi Gabungan Usahawan Tok Uban Berhad selesai didaftarkan pada 23 Oktober lalu manakala sijil perakuan pendaftaran akan disampaikan kepada penduduk dalam program pada Selasa.
"Setiap koperasi masing-masing mempunyai 20 ahli untuk permulaan dan akan berkembang lebih ramai pada masa akan datang.
"Koperasi ini diharap dapat membantu penduduk setempat meningkatkan taraf sosial ekonomi terutama melalui Koperasi Gabungan Usahawan Tok Uban Berhad sekali gus dapat mengembangkan lagi perniagaan diceburi seperti perniagaan madu kelulut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung di Sekolah Kebangsaan (SK) To’ Uban di sini pada Isnin.
Menurut Mardzuki, kejayaan penubuhan koperasi tersebut dicapai melalui program Satu Pemimpin Satu Kampung yang dilaksanakan pihaknya menerusi saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Program ini bertujuan menampilkan pemimpin atau anak tempatan yang berjaya dalam karier masing-masing untuk menjadi teladan, inspirasi dan idola kepada penduduk di kampung kelahiran mereka.
"Jadi saya sendiri anak kelahiran Kampung Pengkalan Machang, To’ Uban amat berbangga dan gembira dapat bersama-sama dengan penduduk melakukan aktiviti yang boleh mendorong mereka meningkatkan lagi taraf pendidikan, sosial dan tahap ekonomi setempat," katanya.
Tambah beliau, program tersebut berlangsung selama dua hari hingga Selasa.
Antara pengisian program termasuk Bicara Santai Anak Watan bersama tiga panel yang terdiri dari anak jati Kelantan, Program Motivasi Pelajar bersama murid SK To’ Uban dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan To’ Uban.
Turut diadakan Pertandingan Dekorasi Masakan, Program Aspirasi Pemimpin, Sesi Bersama Kaunselor, Kenduri Rakyat, Jualan Rahmah, Ceramah Perdana Gotong-royong Madani juga pemeran aset-aset ketenteraan.
Bagi menjamin manfaat daripada program itu, UPNM turut menyampaikan sumbangan peralatan pembelajaran seperti komputer dan komputer riba, buku selain pemberian bantuan kepada pelajar-pelajar berkeperluan.
Hadir sama di program berkenaan ialah bekas Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Ekonomi, Datuk Luqman Ahmad dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Imran Ahmad, kesemuanya anak watan.