Pasukan DataSmith dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah dinobatkan sebagai juara dalam Data Hackathon POLYCC 2024 yang berlangsung di Terengganu Digital baru-baru ini.
Menerusi kejayaan berkenaan, DataSmith membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM1,000.
Tempat kedua bagi pertandingan itu disandang oleh Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dengan hadiah kemenangan RM500 manakala tempat ketiga menjadi milik Politeknik Kuala Terengganu (PKT) yang membawa pulang RM300.
Menurut Ketua Juri Data Hackathon POLYCC 2024, Dr Mohamad Shukor Talib, pertandingan memberi peluang kepada pelajar meneroka pendigitalan teknologi dan memupuk budaya inovasi serta kerjasama di dalam pasukan.
Katanya, sesi pitching yang diadakan juga menguji kemahiran peserta mempamerkan kebolehan dan potensi diri dalam melontarkan idea.
Salah seorang peserta, Nurulain Liyana Hazlisham dari PKT berkata, penyertaan di Data Hackathon POLYCC 2024 adalah pengalaman yang pertama buat dirinya.
"Sangat seronok kerana banyak cabaran yang perlu dilalui ketika menyelesaikan aktiviti disediakan penganjur.
"Idea dan penyelesaian menggunakan aplikasi data analitik amat diperlukan untuk solusi kepada sesetengah aktiviti.
"Justeru, kemahiran dan penguasaan sains data yang dimiliki peserta memang diguna pakai untuk menghasilkan jawapan tepat,” ujarnya.
Data Hackathon POLYCC 2024 yang disertai 87 pasukan dari institusi POLYCC (politeknik dan kolej komuniti) di Malaysia merupakan satu platform meneroka dan mengukuhkan kemahiran data analitik dan data besar.
Pertandingan anjuran PKT dengan kerjasama Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan melahirkan para pelajar yang mempunyai pemikiran inovasi, kreatif dan berdaya saing dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
Dalam program itu, para peserta diberikan set data dan dikehendaki menggunakan pelbagai teknik pemprosesan data yang terkini seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan data analitik untuk mencipta penyelesaian praktikal dan inovatif.
Pengarah BPPI, JPPKK, A Azman Arshad diberi penghargaan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang Data Hackathon POLYCC 2024.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah, JPPKK, KPT, Muhamad Rumzi Mamat dan Pengarah PKT, Ts Nadzri Che Kamis.