UiTM kekal kedudukan 10 peratus universiti terbaik di Asia

Iklan
Info grafik mengenai kejayaan UiTM berada di kedudukan 101 daripada 984 universiti di Asia dalam QS Asia University Rankings 2025. Gambar kecil: Shahrin

Universiti Teknologi Mara (UiTM) berada di kedudukan 101 daripada 984 universiti di Asia dalam QS Asia University Rankings 2025.

Ini sekali gus meletakkan UiTM konsisten dengan mengekalkan kedudukan dalam 10 peratus universiti teratas di seluruh Asia.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, kedudukan tahun ini menekankan peningkatan ketara dalam beberapa indikator utama dalam sejarah UiTM.

"UiTM terus mencatat rekod skor tertinggi bagi indikator rangkaian penyelidikan antarabangsa pada skor 93.1 peratus, diikuti dengan reputasi majikan 82.8 peratus dan reputasi akademik 76 peratus.

Iklan

"Skor untuk reputasi akademik khususnya menyaksikan peningkatan sehingga 45 peratus dari tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shahrin memberitahu, pencapaian itu mencerminkan strategi penglibatan dan kolaboratif UiTM yang berkesan sehingga mendapat pengiktirafan serta persepsi positif daripada pakar akademik global.

Iklan

Justeru, kata beliau, UiTM akan terus melaksanakan inisiatif kukuh dalam bidang kemampanan dan tanggungjawab sosial untuk mempertingkatkan lagi penawaran akademiknya selain memastikan ia kekal terkehadapan dalam menangani cabaran kontemporari.

"UiTM kekal berdedikasi untuk membina kekuatannya dan meningkatkan sumbangannya kepada landskap pendidikan tinggi di Malaysia dan seterusnya.

"Hasil daripada usaha dan dedikasi fakulti, pelajar serta kakitangan kami, UiTM berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kalangan universiti terbaik Asia

"Fokus institusi ini adalah untuk meningkatkan standard akademik, penyelidikan inovatif dan penglibatan masyarakat yang membezakan institusi ini," tambah beliau.