Kematian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, 86, di Hospital Assunta, Kuala Lumpur pada Rabu meninggalkan kesan yang cukup mendalam di hati rakyat Malaysia.
Ini kerana, Tun Daim merupakan tokoh yang begitu dihormati dan disanjungi ramai dek kebijaksanaan mengurus ekonomi Malaysia serta melaksanakan pelarasan struktur dengan baik.
Mungkin ada sesetengah daripada kita tidak mengenali Allahyarham secara dekat antaranya di mana beliau dilahirkan, lokasi pengajian, bidang kerjaya sebelum ini dan lain-lain lagi.
Memetik perkongsian portal tempatan, Allahyarham Tun Daim dilahirkan pada 29 April 1938 di Derga, Alor Setar, Kedah.
Bongsu daripada 13 beradik merupakan anak kepada seorang kerani kerajaan (bapa) dan suri rumah (ibu).
Kerjaya beliau bermula sebagai guru sementara di KSAH pada 1957.
Selepas itu, tokoh hebat ini terlibat dalam perkhidmatan guaman di tahun-tahun seterusnya.
Berikut Sinar Bestari sertakan secara ringkas profil Allahyarham Tun Daim.
Nama penuh: Tun Abdul Daim Zainuddin
Tarikh Lahir: 29 April 1938
Tempat Lahir: Derga, Alor Setar, Kedah
Latar belakang pendidikan:
1) KSAH pada 1949 hingga 1954
2) Institusi Saint Xavier, Pulau Pinang
3) Mendapat Ijazah Undang-undang (Lulus Peperiksaan Peguam) dari Lincoln's Inn (1959)
4) Memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Bandar dari University of California, Berkeley (1977 hingga 1979)
Kerjaya:
1) Bermula sebagai guru sementara di KSAH (1957)
2) Terlibat dalam perkhidmatan guaman di Kota Bahru, Kelantan
3) Memasuki perkhidmatan guaman kerajaan dan berkhidmat sebagai Majistret di Johor
4) Bekerja sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Perak
5) Berkhidmat di firma guaman terkemuka Allen & Gledhill (1966)
6) Menubuhkan firma guamannya iaitu Daim, Gamani & Co
Sebelum beliau meninggal dunia, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Sumber: Berita Harian