Pengambilan pertama pelajar bagi mengikuti kursus intensif bahasa Arab di Institut Bahasa Arab Al-Azhar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan bermula awal tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan program bahasa Arab itu adalah sebagai persediaan untuk pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.
Anwar memaklumkan, Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb telah bersetuju pelaksanaannya dipercepatkan bagi membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran bahasa Arab mereka sebelum berlepas ke Mesir.
"Pelajar, pengusaha, profesional akan memanfaatkan kemudahan itu dengan kos yang sangat rendah kerana kerajaan Malaysia akan menyediakan tempat dan Universiti Al-Azhar menyediakan profesor dan pensyarah atas biayaan mereka.
"Ini satu yang akan memberi manfaat sangat tinggi kepada kita. Ini menunjukkan satu keyakinan Sheikh Al-Azhar dan Universiti Al-Azhar keseluruhannya kepada kita," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke Mesir pada Selasa. - Bernama