Buli di IPT: MPPK sedia jadi orang tengah kepada mangsa buli

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan kes buli di IPT. (Gambar kecil: Syahril)

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bersedia menjadi orang tengah kepada mangsa buli untuk tampil melaporkan kes sekiranya ada yang takut untuk mendedahkan perbuatan tersebut.

Presiden MPPK, Syahril Ahmad Sofian berkata, ia bagi memastikan tiada lagi kes terpencil berlaku tanpa pengetahuan selain mahu mewujudkan persekitaran selamat kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha tersebut perlukan kerjasama warga universiti dalam menjadikan kampus kekal bebas daripada segala bentuk buli, sama ada secara fizikal, siber atau mental.

"Kami menggalakkan pelajar yang menjadi mangsa atau saksi kes buli agar berani tampil dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa universiti.

Iklan

"MPPK bersedia menjadi saluran untuk mendengar, membantu dan memberi sokongan kepada mana-mana pelajar yang memerlukan,” katanya pada Rabu.

Syahril berkata, pihaknya percaya dengan usaha tersebut, kita mampu membentuk suasana kampus yang lebih harmoni, inklusif dan selamat untuk semua.

Iklan

"Sebagai badan yang mewakili suara pelajar, MPPK berpendirian bahawa setiap pelajar berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat dan harmoni, tanpa rasa takut atau tekanan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, tindakan tegas perlu diambil terhadap pelaku buli untuk memberi mesej jelas bahawa budaya buli tidak akan diterima dalam kalangan warga IPT.

"MPPK juga menyokong usaha-usaha penggubalan dasar yang lebih ketat termasuk penganjuran program pencegahan buli yang komprehensif di peringkat universiti," katanya.

Terbaharu, satu lagi kejadian buli dilaporkan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membabitkan pelatih Tahun Satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar Tahun Dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar senior

Sementara pada 1 Jun 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.