Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedia menawarkan kursus jangka pendek kecerdasan buatan (AI) untuk golongan dewasa dan mereka yang bekerja sekiranya mendapat permintaan.
Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, pengambilan pertama pada 29 September lepas melibatkan seramai 126 pelajar sepenuh masa Fakulti AI (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan Kepujian di Kampus UTM Kuala Lumpur.
"Ya, kami ada (rancangan kursus jangka pendek). Setakat ini, kami ada 126 pelajar kumpulan pertama sepenuh masa untuk FAI.
"Sebenarnya kami ada lebih 100 orang pakar dan AI ini multidisiplin, kami sediakan program bagi golongan dewasa dan bekerja, mereka sangat dialu-alukan.
"Jadi untuk kursus jangka pendek kami tidak kisah, lebih ramai lagi kami suka dan ia berdasarkan permintaan. Kemungkinan boleh dibuka di Kampus Kuala Lumpur atau Johor," katanya pada sidang media di UTM di sini pada Khamis.
Beliau berkata, permohonan keseluruhan bagi FAI adalah berjumlah 40,000, namun hanya 452 pemohon yang menjadikan fakulti berkenaan sebagai pilihan pertama dan kedua dalam sistem UPU.
Penubuhan FAI diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman Belanjawan 2024 lepas, dan pihak UTM berjaya menubuhkan FAI dalam tempoh empat bulan hasil kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi. - Bernama