Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbangga menerima kunjungan pensyarah pelawat bagi Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter, Dr Emanuela Mangiarotti pada bulan lalu.
Dalam slot Rabu Qalbu yang berlangsung di Bilik Interaksi Aras Bawah, FSK, UPSI, Tanjung Malim itu, warga FSK khususnya para ahli akademik tidak melepaskan peluang menghayati perjalanan Emanuela sebagai penulisan buku Feminist Peace dan The Violence of Communication.
Dekan FSK, Profesor Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa berkata, sempena program Author's Book Launch and Academic Exchange itu, lebih banyak peluang dan idea dapat dikongsikan bersama para ahli akademiknya.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Jabatan Moral, Sivik dan Pembangunan Karakter menganjurkan satu program bagi sesi perkongsian ilmiah ini dan mengalukan kedatangan Emanuela ke FSK.
"Saya percaya dengan kepakaran yang dimiliki oleh Emanuela, mampu memberikan kerjasama bukan sahaja dalam program pelajar tetapi juga dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan perundingan," katanya baru-baru ini.
Mangiarotti merupakan penyelidik Pasca Doktoral dalam Sejarah Asia dari University of Pavia, Itali.
Menariknya, sosok ini mempunyai dua pencapaian Doktor Falsafah (PhD) iaitu Sains Sosial dari Universita Degli Studi, Genova dan Analisis Konflik Antarabangsa dari University of Kent.
Beliau mengkaji keganasan komunalisme bukan sahaja sebagai konflik fizikal tetapi juga sebagai proses yang tertanam dalam kehidupan harian dan interaksi sosial.
Mangiarotti menekankan bagaimana komuniti yang terpinggir, khususnya wanita, berperanan dalam hubungan antara agama dan struktur sosial di tengah-tengah ketidakstabilan politik dan ketegangan agama.
Beliau juga menelusuri sejarah komunalisme di Hyderabad dan kesannya terhadap pembahagian kawasan kejiranan, pembentukan identiti dan rasa kebersamaan komuniti.
Beliau melihat pertembungan antara jantina dan kasta yang membentuk pengalaman wanita terpinggir di Hyderabad.
Mangiarotti menggariskan beban berganda yang dihadapi oleh wanita yang ditekan oleh norma-norma patriarki serta kedudukan mereka dalam kasta rendah atau sebagai minoriti agama.
Beliau membincangkan bagaimana wanita menguruskan keganasan komunalisme dalam kehidupan seharian mereka dan bagaimana suara mereka sering dikecualikan daripada naratif dominan.
Mangiarotti menggunakan rangka kerja penyelidikan keamanan feminism yang menekankan kepentingan mengiktiraf peranan wanita dalam meneruskan atau menentang keganasan.
Beliau menggesa suara-suara terpinggir dimasukkan dalam perbincangan tentang pembangunan keamanan dan penyelesaian konflik.