Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang terima ijazah kehormat USM, tahniah!

Iklan
TUN AHMAD FUZI

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa bersempena Upacara Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) ke-62, bermula hari ini hingga 26 November 2024.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Momamed berkata, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor USM berangkat menyampaikan anugerah itu pada sidang pertama.

Iklan
Iklan

"Tuan Yang Terutama Tun (Ahmad Fuzi) dianugerahkan dengan Ijazah Kehormat Doktor Perhubungan Antarabangsa sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangan besar beliau kepada negara.

"Selain itu, anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi atas pengalaman luas Tun Ahmad Fuzi dalam bidang pentadbiran dan perkhidmatan awam, diplomasi antarabangsa, pembangunan ekonomi dan kepimpinan merentas pelbagai sektor," katanya pada sidang media khas Upacara Konvokesyen ke-62 USM di Pulau Pinang pada Isnin.

Iklan

Selain Tun Ahmad Fuzi, Abdul Rahman berkata USM turut mengiktiraf tokoh korporat terkemuka negara dengan memberikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Pengerusi Prasarana Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Beliau berkata, ia sebagai menghargai sumbangan luar biasa Jamaludin terhadap transformasi digital dan telekomunikasi di seluruh dunia serta pertumbuhan sektor pengangkutan awam negara.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, gelaran Profesor Emeritus pula dianugerahkan kepada dua tokoh akademia USM yang banyak berjasa dalam pembangunan ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa iaitu Datuk Dr Chan Ngai Weng dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Profesor Kehormat Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Dr Abu Hassan Ahmad.

Beliau berkata Ngai Weng yang turut dikenali dengan gelaran Malaysia's Waterman, banyak memberi sumbangan kepakaran dalam bidang pengurusan sumber air lestari, manakala Abu Hassan sangat dihormati dalam bidang penyelidikan berkaitan kawalan vektor dan penyakit bawaan nyamuk serta pengurusan perosak yang lestari.

"Sebanyak 8,971 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk 3,396 bagi Ijazah Tinggi Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (5,508) dan 56 graduan Diploma Kejururawatan pada upacara konvokesyen yang berlangsung selama lapan hari ini," katanya.

Terdahulu pada sidang media itu, Abdul Rahman turut memperkenalkan lima graduan cemerlang yang bakal menerima anugerah masing-masing pada upacara konvokesyen tersebut.