Seramai 160 guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di Pulau Pinang akan menerima elaun tambahan RM500 setiap bulan bermula Januari tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, MAINPP telah meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM1.92 juta untuk tujuan itu.
"Mereka sebelum ini menerima RM600 hingga RM1,600 sebulan bergantung pada kelayakan akademik masing-masing.
"Semoga dengan berita baik ini menyuntik semangat para guru untuk memartabatkan Islam di Pulau Pinang melalui pendidikan anak-anak kita," katanya kepada pemberita pada Selasa. - Bernama