Ibu bapa mohon laluan khas di Sungai Golok untuk pelajar sekolah

Iklan
Melalui pangkalan haram, pelajar hanya mengambil masa tidak sampai lima minit dengan menaiki bot pada harga tambang RM1 untuk ke sekolah di Malaysia. Gambar kecil: Fadhli.

"Ramai pelajar tinggal di Thailand tetapi bersekolah di sini (Rantau Panjang, Kelantan). Jadi kami mohon kerajaan untuk menimbang kembali keputusan untuk melaksanakan larangan merentas Sungai Golok ini."

Itu adalah luahan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Fadhli Mat Yusof mengenai kenyataan Polis Kelantan, tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember nanti.

Iklan
Iklan

Kongsi Fadhli, ibu bapa mulai buntu memikirkan arahan baharu itu dan berharap ia dapat dilonggarkan khas untuk pelajar sekolah.

"Jika hanya itu pilihan yang pihak berkuasa ada, kami mohon agar laluan khas dibuka di pangkalan haram Sungai Golok untuk pelajar sekolah yang tinggal di Thailand memasuki negara ini.

Iklan

"Pada masa yang sama, ramai pelajar tinggal di Thailand tapi bersekolah di sini (Kelantan).

"Ia sudah menjadi tradisi zaman berzaman masyarakat di sini yang rata-ratanya berkahwin melibatkan dua negara," katanya kepada pemberita.

Iklan

Beberapa pelajar menunggu giliran untuk menaiki bot yang juga pengangkutan utama ke sekolah setiap hari di Sungai Golok.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Panjang berkata, kemasukan melalui pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang menyukarkan pelajar apabila terpaksa beratur panjang di kaunter.

Katanya, ia dibimbangi boleh menyebabkan pelajar lewat ke sekolah kerana waktu operasi di ICQS bermula jam 7 pagi.

Fadhli memberitahu, para pelajar akan berdepan kesesakan di ICQS serta jarak yang lebih jauh dari sekolah jika dibandingkan melalui pangkalan haram yang tidak sampai lima minit sahaja menaiki bot berbayar RM1 dan berjalan kaki.

"Apabila ada laluan khas di pangkalan haram itu nanti pihak berkuasa juga boleh meletakkan anggota PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk memantau para pelajar.

"Selebihnya kami berharap arahan terbabit ditangguhkan terlebih dahulu dan buat kajian semula," katanya.

Sementara itu, ibu bapa dan penjara kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Malaysia ini, mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok bagi kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu.

Tinjauan pada Rabu mendapati, hampir 400 pelajar sekolah rendah, menengah dan agama menjadikan lebih enam pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berhampiran Pekan Rantau Panjang sebagai 'pintu masuk' ke sini kerana mereka tinggal di Golok, Thailand.

Difahamkan mereka mempunyai kerakyataan Malaysia hasil perkahwinan ibu atau ayah yang merupakan rakyat di sini atau negara gajah putih.

Difahamkan mengikut rekod Kementerian Pendidikan hanya 150 pelajar mempunyai kerakyatan Malaysia yang tinggal di Thailand bersekolah harian biasa manakala selebihnya adalah aliran agama.

Ibu bapa kepada ratusan pelajar yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Malaysia, mahu pihak berkuasa mewujudkan laluan khas di pangkalan haram Sungai Golok, Rantau Panjang.

Sinar Bestari pada Selasa, melaporkan, Polis Kelantan tidak akan berkompromi dan menahan rakyat Malaysia yang menggunakan laluan haram untuk keluar masuk ke Thailand bermula 1 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kini menguatkuasakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen bagi mengelakkan lebih banyak kes jenayah termasuk penyeludupan dadah atau senjata api.

Katanya, kesemua rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand tidak boleh lagi melalui 'lorong tikus' atau menggunakan laluan haram.