Kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun lebih 3,000 guru al-Quran dan fardu ain daripada RM200 kepada RM270 sebulan bermula tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 di Kota Darulnaim berkata, pengelola, pegawai dan pembantu dakwah Halaqat kawasan masing-masing juga bakal menikmati kenaikan elaun sebanyak RM300 bermula Januari 2025.
Mohd Nassuruddin berkata, kenaikan itu menjadikan elaun pengelola dakwah Halaqat berjumlah RM1,850 sebulan tahun depan manakala pegawai Halaqat menerima RM1,200 dan pembantu Halaqat pula RM900.
"Keseluruhannya kerajaan Kelantan memperuntukkan RM21.11 juta untuk bayaran elaun tenaga pengajar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam pembentangan Belanjawan 2025," katanya ketika pembentangan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Beliau berkata, kenaikan itu mengambil kira peranan penting dakwah Halaqat serta guru al-Quran dan fardu ain dalam aspek pengukuhan kefahaman agama kepada masyarakat. - Bernama