KPM umum tarikh sebenar SPM 2024! ‘Akan bermula 2 Disember bagi Ujian Bertutur Bahasa Melayu’

Iklan
KPM mengingatkan semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang SPM 2024 berlangsung. Foto: Arkib Sinar Bestari

Seramai 402,956 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 3,337 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Manakala 126,636 orang petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu.

Iklan
Iklan

Menurut KPM dalam kenyataan media pada Isnin, SPM 2024 akan berlangsung pada 2 Disember tahun ini hingga 6 Februari 2025.

Ia dimulakan dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada 2 hingga 5 Disember, diikuti Ujian Amali Sains (9 - 12 Disember) manakala Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (16 - 19 Disember).

Iklan

Kemudian, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (31 Disember) serta Peperiksaan Bertulis (2 Januari - 6 Februari 2025).

Oleh itu, KPM mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang SPM 2024 berlangsung.

Iklan

"Jadual waktu SPM 2024 boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

"Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

"Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM 2024,” maklum kenyataan itu.

Foto: Arkib Sinar Bestari

Dalam pada itu, KPM turut memandang serius berhubung keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang SPM.

Kata mereka, pihaknya sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

"Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” ujar kenyataan tersebut.

Akhir sekali, KPM komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan SPM 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.

Pihaknya mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.