Management and Science University (MSU) melalui School of Hospitality and Creative Arts (SHCA) meneruskan usaha memperkasa dan meraikan kreativiti pelajar rekaan fesyen mengekspresi seni kreatif diri masing-masing menerusi Modest Selangor Runaway 2024 - Championing Heritage and Cultural Appreciation.
Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, penganjuran program itu sebahagian daripada aktiviti bersempena MSU Fashion Week 2024 yang berlangsung 18 hingga 21 November 2024.
"Modest Selangor Runaway 2024 - Championing Heritage and Cultural Appreciation edisi kali ke-2 ini, mempamerkan pertunjukan fesyen kolaboratif antara pelajar, alumni dan rakan institusi strategik MSU iaitu UEDA College of Fashion yang merupakan peneraju sekolah fesyen di Jepun.
"Kerjasama strategik ini menyaksikan para pelajar Rekaan Fesyen MSU memperoleh pendedahan antarabangsa melalui pengalaman pembelajaran, pentas peragaan dan komersil,” katanya ketika berucap marasmikan program itu di Dewan Canselor MSU pada Rabu.
Hadir sama, Presiden UEDA College of Fashion, Hitoshi Tajima; Dekan SHCA, Azizul Jamaludin dan penguran kanan MSU serta rakan industri.
Mohd Shukri berkata lagi, terdapat beberapa pengisian lain yang turut diadakan antaranya pameran fesyen bertemakan Contemporary Ancestry menerusi MSU UP: Upcycle Project-Designing for Circularity Project.
Selain itu, A World Of Issey Miyake's 3d Modelling And Design, Print and Preserve: Cold Wax Batikby Desa Alam Batik, Eco-Print Workshop by Ghomah Batik dan lain-lain menjadi tarikan sepanjang majlis berlangsung.
"Pentas peragaan hari ini menyaksikan sentuhan kreativiti 49 rekaan pelajar fesyen muda MSU yang terdiri daripada pelajar Bachelor in Fashion Design with Marketing (Hons) dan Diploma in Fashion Design.
"Pentas peragaan turut menampilkan empat sesi peragaan iaitu koleksi MSU x UEDA Gakuen Fashion Show 2024 (10 rekaan).
"Koleksi hijab (10 rekaan) menampilkan rekaan alumni MSU, koleksi pakaian lelaki (12 rekaan) serta koleksi pakaian wanita berkonsepkan Championing Heritage & Culture Appreciation (17 rekaan)," katanya.
Menurut beliau, industri kreatif khususnya dalam bidang fesyen antara penyumbang utama kepada sektor ekonomi negara.
Justeru, institusi pendidikan tinggi berperanan dalam melahirkan ramai pereka berdaya saing dalam industri fesyen negara dan antarabangsa.
Untuk rekod, sebanyak sembilan penuntut MSU mendapat pendedahan peringkat antarabangsa setelah menyertai Guliacarla Cecchi International Competition Tenth Edition, anjuran Premio Guliacarla Cecchi di Florence, Itali pada 13 November yang lalu yang mana dua orang berjaya ke peringkat akhir 10 peserta terbaik.
Mereka ialah Arina Zahiralmas melalui koleksi diinspirasi dari Animal Abuse dan Indah Sharas Wati melalui koleksi dinspirasi dari Harimau Malaya.
Katanya lagi, sejak tahun 2018 pelajar MSU mendapat peluang mengetengahkan rekaan mereka di pentas pertunjukan dan pameran fesyen Uedagakuen Collection di Osaka, Jepun yang dianjurkan oleh UEDA College of Fashion.