Demi keselamatan pelajar, pintu sempadan Malaysia- Thailand dibuka jam 6 pagi khas buat mereka!

Iklan
Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Pintu sempadan Malaysia-Thailand akan dibuka seawal 6 pagi untuk pelajar yang menetap di Golok, Thailand pergi ke sekolah di Rantau Panjang mulai 1 Disember ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pelajar terlibat hanya boleh melalui laluan yang diwartakan dan dilarang melalui pangkalan haram Sungai Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.

Iklan
Iklan

"Keputusan itu dibuat dan diputuskan melalui mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Ahad.

"Saya juga difahamkan pihak berkuasa Thailand bersedia membuka pintu sempadan mereka seawal 6 pagi bagi memberi laluan pelajar sekolah untuk melalui ICQS," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Isnin.

Iklan

Pelajar-pelajar sekolah menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand bagi memulakan sesi persekolahan. Keselamatan mereka juga dibimbangi kerana tiada jaket keselamatan dan berdiri dalam bot sepanjang laluan itu.

Mohd Yusoff berkata, sebelum ini pintu sempadan pernah dibuka seawal 6 pagi, namun sejak wabak COVID-19 melanda negara, ia diubah kepada 7 pagi.

Iklan

Beliau berkata, pemantauan pihaknya mendapati pelajar sekolah yang menaiki perahu tanpa enjin menggunakan pangkalan haram sungai itu kebanyakannya tidak memakai jaket keselamatan, terlebih muatan dan perahu ditarik menggunakan tali untuk ke seberang.

Hal itu, katanya agak membimbangkan kerana pelajar terpaksa berdiri di dalam perahu dari Golok untuk menyeberang ke Rantau Panjang.

Sementara itu, mengulas sama ada penyeludup dadah akan mengambil kesempatan terhadap pelajar sekolah yang menggunakan ICQS untuk menyeludup bahan terlarang itu, Mohd Yusoff berkata perkara itu berkemungkinan akan berlaku.

"Oleh itu, kita akan membuat pemeriksaan melalui pintu masuk ICQS kerana ia lebih mudah untuk memeriksa pelajar-pelajar sekolah.

Mengulas mengenai penahanan mana-mana rakyat Malaysia dan Thailand yang melalui pangkalan haram Golok-Rantau Panjang yang berkuat kuasa pada bulan depan, Mohd Yusoff berkata 85 peratus penduduk di kedua-dua negara itu menyokong tindakan polis Malaysia berhubung perkara ini.

"Saya menerima maklum balas positif daripada mereka (penduduk Malaysia dan Thailand) cuma lebih kurang 10 ke 15 peratus tidak sokong kerana mereka buat jenayah di sempadan," katanya.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) memasang papan tanda peringatan kepada orang ramai supaya jangan menyeberang sempadan melalui Sungai Golok berdekatan pangkalan haram MCA dan Syed Agil, Rantau Panjang pada minggu lalu.

Sebelum itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilapor berkata, pelajar warganegara Malaysia yang menetap di Thailand, yang dikenal pasti oleh kementeriannya merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram setiap hari untuk bersekolah di negara ini, bakal ditempatkan di asrama.

Fadhlina berkata, perbincangan sedang dilakukan bersama waris untuk menempatkan pelajar di asrama bersesuaian sebagai langkah menjamin keselamatan dan memastikan pendidikan berterusan kepada mereka.

Media sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia. - Bernama