Mansuh peperiksaan di sekolah untuk kurangkan tekanan murid - Fadhlina

Iklan

Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah bertujuan mengurangkan tekanan mereka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sehubungan dengan itu, KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.

Iklan
Iklan

"Pentaksiran bilik darjah ini akan beri satu tanda aras lebih baik khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid.

"Pendekatan yang kita ambil untuk memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan mereka, sebaliknya menawarkan satu ekosistem pembelajaran jauh lebih menarik," katanya pada sesi soal jawab sewaktu persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) sama ada KPM bersedia mengkaji semula bidang kurikulum persekolahan bagi mengurangkan tekanan akademik dalam kalangan murid.

Fadhlina ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM sentiasa memberi keutamaan dalam hal kebajikan dan kesejahteraan murid termasuk psikososial dan kesihatan mental antaranya melaksanakan Saringan Minda Sihat sebagai mekanisme pengesanan awal untuk mengenal pasti murid berhadapan gangguan emosi.

Iklan

"Saringan Minda Sihat dilaksanakan setahun sekali terhadap semua murid tahun lima hingga tingkatan enam manakala murid yang dikenal pasti mempunyai masalah gangguan emosi teruk dan sangat teruk, Saringan Minda Sihat dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.

"Murid yang menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan diberikan bantuan segera melalui intervensi berfokus menggunakan Modul Minda Sihat, Modul Program Intervensi Minda Sihat dan Modul Kesihatan Mental Remaja yang menerapkan kemahiran menangani stres, kemahiran menyelesaikan masalah dan menguruskan emosi dengan baik," katanya.

Mengenai saringan kesejahteraan psikologi guru, beliau berkata sebanyak 92.7 peratus guru telah memiliki profil kesejahteraan psikologi berdasarkan pemprofilan kesejahteraan guru menggunakan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi).

Beliau berkata, KPM juga sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) untuk mengukur kesejahteraan guru melalui domain ketersediaan dan penggunaan sumber, autonomi dan kompetensi guru, keselarasan kerja dan persekitaran, kesejahteraan psikologi dan sistem sokongan. - Bernama