Kemahiran menghasilkan perabot pelbagai fungsi oleh tiga pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, Perak ternyata ‘menjadi’ apabila inovasi mereka mendapat pujian ramai.
Table Chair Box (TC Box) yang dibangunkan Adriana Zafirah Zuraimee, 23; Nurul ‘Ain Afini Sadon, 21, dan Aisyah Humaira’ Zulkafli, 20, memudahkan pelajar terutama bagi mereka yang tinggal di asrama untuk dijadikan lokar, kerusi dan meja.
Adriana Zafirah selaku Ketua Kumpulan MEFINA berkata, produk itu mampu menjimatkan ruang yang terhad kerana mempunyai pelbagai kegunaan.
"Ia boleh dijadikan tempat menyimpan barang, tempat duduk dan ruang untuk membaca atau mengulang kaji pelajaran.
"Modal yang digunakan hanyalah sekitar RM330 sahaja merangkumi kayu getah (kitar semula), kayu meranti (kitar semula), papan blockboard dan formica,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.
Mengulas lanjut, Adriana Zafirah berkata, produk yang dibangunkan itu merupakan projek wajib pelajar Semester Lima bagi memenuhi kredit subjek.
"Kami mengikuti jurusan Diploma Teknologi Pengeluaran Perabot Kontemporari di IKM Lumut.
"Jadi, ada sesetengah subjek memerlukan penghasilan inovasi bagi mendapatkan kredit.
"Dengan bimbingan pensyarah, Juliana Mohamed Lazim dan penyelia, Norlia Mohamed Isa, inovasi TC Box berjaya dihasilkan dengan begitu sempurna, alhamdulillah,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan projek, Adriana Zafirah yang berasal Perak berkata, mereka berhasrat menghasilkan lebih banyak lagi perabot pelbagai fungsi untuk komuniti setempat.
"Kami masih belajar dalam pembuatan perabot dan cukup seronok apabila melihat ia berjaya dibangunkan.
"Sehingga hari ini, sudah ramai yang berminat untuk membeli kerana ia unik dan lain daripada yang lain.
"Insya-ALLAH, kami akan cuba penuhi permintaan mereka dan akan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa demi menjadikan produk kukuh dan bermutu tinggi,” ujarnya.