Lebih 800 pengunjung menghadiri pameran pendidikan anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Dikenali KIAS EDUFAIR 2024, acara berskala sederhana itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar, ibu bapa, dan masyarakat tentang peluang pengajian yang disediakan oleh KIAS.
Selain itu, penganjurannya juga sejajar dengan usaha membantu pelajar yang sedang mencari tempat untuk menyambung pelajaran terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi, asasi, diploma atau kelayakan setaraf.
Menurut Timbalan Rektor Akademik dan Penyelidikan KIAS, Dr Nurul Akma Mohamed, pendidikan tinggi bukan sahaja tentang kelayakan akademik tetapi juga platform untuk pembangunan sahsiah dan potensi diri.
"Program seperti ini penting dalam memberi pendedahan awal kepada bakal pelajar tentang laluan pendidikan dan peluang kerjaya yang tersedia di KIAS.
"Melihat kepada sambutan luar biasa, tidak mustahil kami akan menjadikannya sebagai acara tahunan,” katanya ketika berucap sempena perasmian KIAS EDUFAIR 2024.
Terdahulu, KIAS EduFair 2024 menyajikan pelbagai program dan aktiviti menarik untuk pengunjung antaranya sesi perundingan pendidikan dan perkongsian pengalaman alumni KIAS.
Penglibatan beberapa agensi utama seperti Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bank Rakyat yang berkongsi maklumat tentang biasiswa pembiayaan pendidikan dan kerjaya menjadikan KIAS EduFair 2024 dipuji ramai.