Sana-sini bercerita tentang kejayaan luar biasa pelajar genius dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Heng Ee, George Town, Pulau Pinang.
Dikenali sebagai Ahmad Khidir Ahmad Nazri, kisahnya ‘tular’ dek meraih lima anugerah sekali gus dalam majlis graduasi sekolah itu.
Anugerah dirangkul pelajar hebat ini terdiri daripada Anugerah Tokoh Pelajar; Anugerah Timbalan Ketua Pengawas; Anugerah Tempat Pertama Dalam Kelas: Tempat Pertama Dalam Tingkatan Aliran Sastera serta Anugerah Terbaik Mata Pelajaran (Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam).
Menurut Ahmad Khidir, tiada sebarang rahsia atas segala kejayaan yang diraih.
Cuma, dia cukup menjaga hubungan dengan ALLAH SWT.
"Setiap hari, saya akan menunaikan solat sunat sebelum Subuh dan solat sunat hajat sebelum pergi sekolah.
"Saya juga sentiasa menghormati ibu bapa dan mendoakan agar ALLAH menjaga mereka sepanjang masa.
"Dalam masa sama, saya juga menjaga hubungan dengan semua guru kerana mereka adalah pembuka jalan kepada cahaya ilmu dan kebijaksanaan,” ujarnya.
Sebenarnya, cerita kehebatan Ahmad Khidir yang cemerlang dalam pelajaran sehingga viral di Malaysia bermula dengan video yang dimuat naik kakaknya, Siti Fatimah Azzahra di TikTok.
Difahamkan, video itu telah memperoleh 1.6 juta tanda suka, lebih 2,000 komen dan lebih 8,000 perkongsian daripada warga maya.
Kata Ahmad Khidir, dia terkejut video tersebut mendapat maklum balas positif dalam kalangan pengguna media sosial.
"Terima kasih kepada pengetua, penolong kanan, guru dan ustaz yang mendidik dari sekolah rendah dan menengah.
"Tak lupa juga, terima kasih kepada warga maya yang memberi ucapan tahniah dan kata-kata semangat agar berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Saya sangat menghargainya," tuturnya.
Memetik perkongsian dalam portal tempatan tentang tip belajar, Ahmad Khidir memaklumkan yang dia mempunyai 'petua' sepanjang mengulang kaji pelajaran.
"Saya ada jadual belajar sendiri di mana dalam sehari, ada dua subjek yang perlu diulang kaji.
"Tempoh ulang kaji bagi satu subjek adalah dua jam 30 minit dengan 15 minit waktu rehat bagi setiap sesi,” ujarnya yang merupakan pelajar aktif dalam kokurikulum dengan menyandang jawatan Naib Pengerusi Kadet Polis, Kelab Pencegahan Jenayah, Lembaga Pengawas, kumpulan koir dan aktif olahraga.