Permohonan Fasa 1 bagi pengajian Program Matrikulasi KPM Sesi 2025/2026 dibuka mulai 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), permohonan itu ditawarkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024.
"Bagi permohonan Fasa 2 dan pengemaskinian maklumat pelajar pula, ia akan dibuka selama lima hari selepas keputusan SPM diumumkan.
"Permohonan ke Program Matrikulasi KPM adalah percuma dan pelajar boleh memohon melalui laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my,” maklum KPM dalam kenyataan media pada Khamis.
Mengulas lanjut, KPM memaklumkan, keputusan bagi setiap permohonan akan dikeluarkan oleh Bahagian Matrikulasi KPM melalui laman sesawang dalam tempoh 21 hari bekerja selepas keputusan SPM 2024 diumumkan.
"Mereka (pelajar) yang berjaya mendapat tawaran perlu memuat turun dan mencetak sendiri surat dan dokumen pendaftaran melalui laman sesawang semakan keputusan tawaran Program Matrikulasi KPM,” ujar kementerian itu.