"Kalau arwah atuk masih ada, pasti dialah yang paling gembira.”
Itulah antara ucapan yang dilontarkan oleh seorang graduan ketika Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ke-21 menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di TikTok.
Difahamkan graduan bernama Mohamad Solehin Zulkarnain dibesarkan oleh nenek dan arwah datuknya serta bapa dan ibu saudaranya selepas kehilangan kedua ibu bapa semasa masih menuntut di universiti berkenaan.
Meskipun tanpa kehadiran ibu dan bapa kandung beliau membuktikan bahawa ia bukanlah satu alasan untuk meraih kejayaan dan berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.90 malah turut menjadi graduan sulung dari UniKL MESTECH yang menerima Anugerah Canselor.
"Walaupun saya dibesarkan oleh arwah datuk, nenek, bapa saudara dan ibu saudara seawal usia tiga bulan mereka ini adalah sumber kekuatan saya.
"Ada yang meragui kejayaan saya tanpa ibu bapa namun keluarga saya telah mengajar nilai murni dan kekuatan yang saya bawa dengan penuh bangga.
"Hari ini, saya membuktikan bahawa kejayaan boleh dicapai melalui pelbagai bentuk keluarga dan saya harap kisah saya mampu menginspirasikan yang lain,” ujarnya.
Graduan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) itu kini telah menjawat jawatan dan bekerja sebagai Eksekutif dan Perunding dalam bidang Ergonomi.
"Saya berhasrat agar dapat menjadi pensyarah dan memberi inspriasi kepada generasi pemimpin dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
"Dalam tempoh 10 tahun, saya berharap untuk berkongsi ilmu, mendidik dan membimbing pelajar menjadi insan yang baik.
"Jika saya boleh berjaya, saya percaya seribu lagi ‘Mohamad Solehin’ mampu berjaya juga,” tambahnya.