UMS lakar sejarah bawa robot tawan puncak Gunung Kinabalu

Iklan
(Gambar kiri) Rombongan peserta ekspedisi menawan puncak Gunung Kinabalu dan gambar kanan menunjukkan Kasim tiba di puncak Gunung Kinabalu.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melakar sejarah dengan membawa robot ciptaan Kelab Robotik menawan Gunung Kinabalu, seterusnya mengibarkan bendera UMS di puncak gunung itu, baru-baru ini.

Misi menawan puncak tertinggi Asia Tenggara bersama rombongan pelajar dan kakitangan yang diketuai Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor adalah sempena meraikan ulang tahun penubuhan UMS yang ke-30.

Iklan
Iklan

Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie berkata, robot berbentuk kereta itu dicipta menggunakan varian empat roda bagi mekanisme suspensi rocker-bogie iaitu versi ringkas daripada reka bentuk enam roda yang digunakan dalam Mars Rover yang dibangunkan oleh Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dan agensi angkasa lain bagi membolehka ia bergerak di permukaan tidak rata.

"Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.

Iklan

"Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa," katanya selepas berjaya menawan puncak tersebut.

Kasim (depan) bersama pelajar dan robot ciptaan mengibarkan bendera UMS.

Iklan

Mohd Ghazali Shafie berkata lagi, sistem itu mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan yang konsisten dengan tanah walaupun di permukaan yang mencabar.

"Selain itu, gerakan rocking turut membantu menyerap hentakan daripada halangan dan meningkatkan prestasi di kawasan lasak.

"Robot ciptaan ini lebih efektif, mudah dibina dan ringan yang memudahkan mereka untuk mengangkut robot tersebut ke puncak gunung," katanya.

Sementara itu, program UMS Lambang Puncak Jaya diilhamkan oleh Bahagian Pembangunan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS sebagai inisiatif untuk menunjukkan warga UMS dengan pelbagai latar belakang bersama-sama melalui perjalanan mencabar dalam membangunkan universiti sehingga mampu meraih pelbagai bentuk pengiktirafan dan kecemerlangan.

Perjalanan rombongan menawan puncak dimulakan pada jam 9.50 pagi selepas acara pelepasan peserta di Timpohon Gate dan tiba di Laban Rata pada jam 4.20 petang.

Perjalanan kemudian disambung seawal jam 2.45 pagi dan tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi.

Program disertai sekumpulan pelajar dari Kelab Robotik UMS dan 30 kakitangan UMS adalah sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun UMS ke-30 dan Majlis Konvokesyen UMS ke-26 yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Disember ini.