"Perjalanan yang berliku membuahkan hasil. Siapa kata budak IKM (Institut Kemahiran Mara) tidak boleh berjaya?”
"Alhamdulillah dan tahniah. Barisan muda dalam syarikat."
"Proud of you my brother! He is very struggle to achieve his dream!"
"Contoh anak Mara (Majlis Amanah Rakyat) yang patut diikuti."
Demikian komen warga maya susulan kejayaan alumni Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut, Perak, Amirul Ridzwan Ahmad Roslan yang tidak pernah berputus asa untuk mencapai kejayaan dalam bidang pengajian dan kehidupan.
Perkongsian yang dimuat naik Facebook IKM Lumut [Official Pages] Rabu lalu, mendapat ratusan tanda suka dan ucapan serta doa daripada pengguna laman sosial itu.
"Amirul Ridzwan layak dijadikan contoh kepada anak-anak muda di mana jika seseorang gigih berusaha, berdisiplin dan bersungguh-sungguh, mereka mampu mencipta kejayaan,” kata warganet.
Untuk info, Amirul Ridzwan memulakan pengajian Sijil Teknologi Kejuruteraan Bangunan di IKM Lumut pada Julai 2013 hingga Jun 2015.
Bakat, kemahiran dan kepakaran dimiliki terserlah sepanjang pembelajaran di sini.
Paling membanggakan apabila beliau menjalani latihan industri (LI) di syarikat Associated Builder & Contractor di mana khidmatnya menarik perhatian majikan sehingga ditawarkan bekerja dengan mereka.
Tamat belajar peringkat sijil, Amirul Ridzwan menyambung Diploma Teknologi Pembinaan (Sistem Lanjutan) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading, Johor dari Julai 2015 hingga Julai 2018.
Sepanjang tempoh ini, beliau sekali lagi menjalankan LI di syarikat yang sama.
Hubungan baik yang dibina membuatkan Amirul Ridzwan diterima bekerja sebagai Site Supervisor selepas tamat diploma.
Tidak berapa lama kemudian, pemuda ini mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan di Wawasan Open University dari Jun 2019 hingga Januari 2024.
Tamat sijil, diploma dan ijazah, Amirul Ridzwan bekerja di sebuah syarikat dengan jawatan Assistant Project Manager pada 2018.
Kemudian, beliau melalui beberapa fasa kerjaya dengan pelbagai jawatan sehinggalah alumni IKM Lumut ini menjadi seseorang yang matang dan berpengalaman.
Kisah Amirul Ridzwan adalah bukti bahawa perjalanan menuju kejayaan tidak pernah mudah.
Ia menuntut ketabahan, pengorbanan dan keazaman.
Dari seorang pelajar biasa, beliau kini menjadi seorang profesional dalam industri pembinaan sekali gus menginspirasikan generasi muda.
Satu prinsip yang dipegang Amirul Ridzwan sehingga sekarang iaitu ‘kejayaan bukan tentang di mana kita bermula, tetapi bagaimana kita mengakhirinya’.