ResQ Team dari UPSI bantu pindah 400 mangsa banjir di Tumpat

Iklan
ResQ Team UPSI bersama anggota bomba memindahkan mangsa banjir.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Skuad Ihsan Madani dari ResQ Team memindahkan 400 mangsa banjir yang terjejas di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan.

Ketua misi berkenaan, Profesor Madya Dr Muhammad Aqil Aryan Wong berkata, kesemua mereka dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat (4) melalui misi yang bermula Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, usaha pemindahan dilakukan dengan menggunakan sebuah bot dan lori muatan 18 tan.

"Bagi memastikan proses menyelamat berjalan lancar untuk membawa kesemua mangsa, kerjasama dilakukan dengan polis dan bomba di daerah itu," jelasnya.

Iklan

Muhammad Aqil yang juga Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) berkata, pasukan itu segera bertindak selepas mendapat maklumat mengenai kesukaran mangsa banjir berikutan air naik mendadak.

"Kita berusaha membantu mangsa yang memerlukan terutama dalam situasi bencana," katanya.

Iklan

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berbangga kerana tindakan pantas dan dedikasi yang ditunjukkan oleh ResQ Team.

"Usaha menyediakan bantuan, keperluan asas dan sokongan kepada mangsa banjir diharap dapat mengurangkan beban mereka," katanya.