World Robot Olympiad (WRO) International Final 2024 menyaksikan Kontinjen Robotik Malaysia muncul juara keseluruhan dalam pertandingan yang berlangsung di Izmir, Turkiye November lalu.
Mereka membawa pulang dua pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa serta tiga anugerah kecemerlangan menerusi WRO International Final 2024.
Kejayaan luar biasa itu sekali gus mengekalkan rekod sebagai juara keseluruhan terbanyak dengan 12 kemenangan dalam tempoh 20 tahun.
Untuk rekod, WRO International Final 2024 yang bertemakan 'Earth Allies' disertai 3,116 pelajar yang mewakili 562 pasukan dari 87 buah negara.
Daripada jumlah itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama rakan strategik Sasbadi Holdings Berhad telah menghantar 17 pasukan negara untuk bertanding dalam lapan kategori yang melibatkan 71 murid, guru dan pegawai pengiring.
Pasukan Malaysia telah mempamerkan inovasi, kerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kategori utama seperti RoboMission, RoboSports, Future Innovators dan Future Engineers.
Akhir sekali, kami di Sinar Bestari merakam ucapan tahniah kepada pasukan negara yang berjaya melakar kecemerlangan di pertandingan tersebut.
Teruskan melangkah maju dan mengharumkan nama Malaysia.