Pelajar sering berdepan cabaran membahagikan masa antara akademik, tugasan harian dan menghafal al-Quran.
Namun tidak bagi graduan Ijazah Kejuruteraan Elektronik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Firdaus Zaid, 23.
Dalam kesibukan bergelar pelajar, dia telah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk sewaktu berada di sekolah menengah.
Kongsi Firdaus, ketika di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Dungun, Terengganu, dia telah memulakan hafalan al-Quran bersama beberapa ustaz.
"Ketika itu, jadual saya memang padat. Perlu fokus akademik, kokurikulum dan juga menghafaz al-Quran.
"Akan tetapi, saya telah sediakan beberapa jadual demi memastikan semuanya berjalan lancar.
"Biasanya saya tetapkan masa selepas solat Subuh dan Maghrib untuk membaca atau mengulang hafalan. Paling penting, saya lakukan setiap hari tanpa gagal,” kata anak kelima daripada tujuh beradik dari Dungun, Terengganu.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, tiada sebarang rahsia yang dia amalkan sepanjang menjadi penghafal al-Quran.
Cuma katanya, hanya satu perkara sahaja yang dia pegang sehingga kini iaitu mengutamakan ALLAH dalam semua aspek.
"Untuk adik-adik, pesan saya, jagalah hubungan dengan ALLAH.
"Apabila kita kembali kepada Tuhan, segala ujian akan terasa ringan dan hati akan tenang," tuturnya.
Sementara itu, Firdaus yang baru sahaja diraikan dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-22 berkata, pembelajaran di USIM menyeronokkan dan penuh liku serta cabaran.
"Saya masih lagi ingat semasa pandemik Covid-19 Oktober 2020, cabaran pembelajarannya cukup besar terutamanya ketika belajar dalam talian.
"Ketika itu, saya rasa agak sukar memahami pelajaran kerana tiada interaksi secara langsung dengan pensyarah.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana menjadi antara pelajar terawal dibenarkan kembali ke kampus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dengan keperluan khas,” ujarnya yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang kejuruteraan.