Krisis muflis: Mengapa belia jadi penyumbang utama?

Iklan
Golongan belia mencatatkan angka tertinggi dalam senarai kes muflis negara.

Kemajuan ekonomi Malaysia yang pesat tidak dapat menafikan realiti pahit peningkatan kes muflis dalam kalangan belia terutama golongan berumur 18 hingga 40 tahun.

Berdasarkan statistik terkini Jabatan Insolvensi Malaysia, golongan ini mencatatkan angka tertinggi dalam senarai kes muflis negara.

Iklan
Iklan

Faktor-faktor penyumbang kepada muflis

1) Kurangnya pengetahuan pengurusan kewangan

Iklan

Kelemahan dalam pengurusan kewangan merupakan punca utama kepada masalah muflis. Belia yang kurang didedahkan kepada asas-asas kewangan sering terjebak dalam penggunaan kad kredit yang tidak terkawal atau meminjam wang untuk keperluan yang di luar kemampuan mereka.

2) Tekanan gaya hidup moden

Iklan

Pengaruh media sosial sering kali mendorong belia untuk menjalani gaya hidup mewah. Keinginan untuk memiliki gajet terkini, pakaian berjenama, dan melancong ke destinasi mewah tanpa merancang kewangan dengan bijak menjadi punca utama mereka terjerat dalam hutang yang tidak terkawal.

3) Beban pinjaman pendidikan

Pinjaman pendidikan adalah cabaran besar kepada graduan muda. Walaupun bertujuan untuk meringankan beban pembelajaran, ramai graduan berdepan kesukaran untuk membayar semula pinjaman selepas tamat pengajian. Keadaan ini bertambah rumit apabila mereka mendapat pekerjaan dengan gaji yang rendah atau masih menganggur.

4) Kegagalan perniagaan baharu

Ramai belia yang bersemangat untuk memulakan perniagaan, namun tanpa pengalaman dan pengetahuan yang mencukupi dalam pengurusan risiko. Kegagalan dalam mengurus kewangan perniagaan dengan baik menyebabkan ramai usahawan muda akhirnya terpaksa diisytiharkan muflis.

Kesan muflis kepada belia dan negara

1) Impak sosial dan emosi

Status muflis bukan sahaja memberi kesan dari segi kewangan, tetapi juga memberi impak emosi yang mendalam. Golongan belia yang muflis sering mengalami rasa rendah diri, tekanan mental, dan isolasi sosial. Keadaan ini biasanya menjejaskan hubungan kekeluargaan dan kerjaya mereka.

2) Halangan kepada pertumbuhan ekonomi

Golongan muflis kehilangan keupayaan untuk menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelaburan atau perbelanjaan yang besar. Masalah ini juga menjejaskan perkembangan ekonomi bandar-bandar utama yang bergantung kepada tenaga kerja belia sebagai sumber utama daya penggerak ekonomi.

3) Peluang pendidikan dan kerjaya terbatas

Generasi muda dari keluarga yang muflis sering kali menghadapi kekurangan peluang pendidikan dan kerjaya. Kesan ini mewujudkan lingkaran kemiskinan yang sukar diputuskan, kerana mereka terperangkap dalam situasi yang menghalang kemajuan hidup mereka.

Langkah penyelesaian

1) Peningkatan literasi kewangan

Pendidikan kewangan perlu dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah menengah dan universiti. Kempen kesedaran mengenai kepentingan menabung, merancang bajet, dan memahami risiko hutang perlu diperhebatkan untuk membimbing golongan belia dalam pengurusan kewangan yang bijak.

2) Kawalan penggunaan kad kredit

Bank dan institusi kewangan perlu lebih tegas dalam meluluskan permohonan kad kredit, khususnya kepada golongan muda. Sebagai contoh, had kredit boleh dikurangkan untuk pengguna baharu, di samping menawarkan program pendidikan mengenai risiko hutang kepada pengguna.

3) Bantuan kepada usahawan muda

Kerajaan dan sektor swasta boleh menyediakan latihan perniagaan dan sokongan teknikal kepada usahawan muda. Ini termasuk program mentor-mentee serta geran permulaan perniagaan yang lebih mudah diakses, agar mereka dapat memulakan perniagaan dengan lebih baik dan mengelakkan kegagalan kewangan.

4) Pelaksanaan skim pembayaran fleksibel pinjaman pendidikan

Skim pembayaran pinjaman pendidikan yang berdasarkan pendapatan boleh membantu meringankan beban hutang graduan. Pendekatan ini memberi peluang kepada belia untuk menyusun kewangan mereka tanpa terjerumus dalam masalah muflis akibat beban hutang pendidikan.

Isu muflis dalam kalangan belia adalah masalah serius yang tidak boleh diabaikan.

Tanpa langkah penyelesaian yang menyeluruh, negara berisiko kehilangan aset penting yang menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi dan sosial.

Oleh itu, kerjasama antara pihak kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat amat diperlukan untuk membendung masalah ini.

Pelaksanaan program pendidikan kewangan, kawalan hutang yang lebih ketat dan sokongan kepada usahawan muda adalah langkah-langkah utama yang perlu diambil segera bagi mengatasi isu ini dan memastikan masa depan yang lebih stabil untuk generasi akan datang.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nurnabilah Mohd Anuar

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my