'Arwah Irfan Hazreeq rajin & sangat menghormati pensyarah. Kehilangannya pasti dirindui' - Pengarah POLISAS

Iklan
Irfan Hazreeq meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Persimpangan Chenor, Lebuhraya Pantai Timur pada Selasa.

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang kehilangan sebutir permata berharga apabila pelajarnya, Mohd Irfan Hazreeq Mohd Salleh, 20, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Persimpangan Chenor, Lebuhraya Pantai Timur pada Selasa.

Menurut Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim, allahyarham merupakan pelajar jurusan Diploma Teknologi Makanan di Jabatan Teknologi Makanan.

Iklan
Iklan

"Dia seorang yang rajin dan selalu menghulurkan bantuan kepada para pensyarah.

"Arwah juga peramah, baik, sentiasa membuat orang lain ketawa dan tersenyum serta sangat mesra dengan seluruh warga politeknik.

Iklan

"Anak bongsu daripada dua beradik itu juga sangat menghormati dan mempunyai adab yang baik dengan pensyarah di sini. Pemergiannya sangat dirasai oleh semua,” katanya secara ekslusif kepada Sinar Bestari.

Susulan kematian Irfan Hazreeq, Hisamudin berkata, beberapa pensyarah dari Jabatan Teknologi Makanan yang turut mewakili Pengurusan Tertinggi POLISAS telah menziarahi keluarga arwah di Felda Kampung Sertik, Pahang dan menziarahi perkuburannya pada Rabu.

Iklan

Dalam masa sama, mereka turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada keluarga pelajar itu.

Turut diserahkan, beberapa dokumen dan borang berkaitan untuk tuntutan pampasan insurans dan bantuan kebajikan pelajar.

"Semua pelajar dilindungi insuran dan mereka atau keluarga akan dibantu pihak kami untuk sebarang tuntutan yang dibuat," ujarnya.