Kerangka Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 merupakan usaha panjang kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi bumiputera.
Usaha ini merupakan inisiatif awal yang dapat dilihat daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam pembangunan ekonomi bumiputera.
DEB ini bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi bumiputera khususnya dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan.
Usaha ini diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) pada 2001 dengan berkongsi tujuan yang sama iaitu meningkatkan penglibatan dalam pelbagai sektor ekonomi berpendapatan tinggi dalam kalangan bumiputera.
Pengukuhan pelaksanaan agenda ekonomi bumiputera dipertingkatkan dengan menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
Unit ini berperanan memperkenalkan program seperti menyediakan akses kepada peluang perniagaan dan pembiayaan kepada usahawan bumiputera.
16 September 2023 Mesyuarat Jemaah Menteri bekerjasama dengan Perutusan Khas Inisiatif Memperkasakan Agenda Sosioekonomi Bumiputera menubuhkan satu jawatankuasa kerja bagi menganjurkan sebuah kongres.
Kongres tersebut diberi nama Kongres Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta YB Menteri Ekonomi.
Terdapat dua objektif yang ditekankan dalam kongres ini iaitu mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu dan penambahbaikan agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif serta mencadangkan pendekatan baharu untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi bumiputera yang lebih bermakna.
Kerajaan telah mengambil tindakan proaktif dengan menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dengan tujuan untuk mengumpul pandangan daripada semua lapisan masyarakat yang berkaitan dan mempunyai kepentingan dalam isu ekonomi bumiputera.
Sesi Libat Urus (SLU) Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) telah berlangsung selama 3 hari bermula 29 Februari 2024 sehingga 2 Mac 2024 dengan membincangkan permasalahan dan cadangan penyelesaian yang melibatkan 10 kumpulan yang dipertanggungjawabkan mendapatkan sebanyak mungkin pandangan.
Terdapat 2 dari 10 isu yang diketengahkan dalam laporan ini antaranya ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan dan TVET Pilihan Kerjaya Utama.
Reformasi pendidikan dan modal insan
Perbincangan berfokus dan soal selidik atas talian telah diadakan bagi mendapatkan segala data dan maklumat yang lebih terperinci serta analitik.
Hasil dapatan telah dibincangkan dan dibahaskan secara mendalam dalam Sesi Libat Urus (SLU) oleh Jawatankuasa Pemandu untuk proses pemurnian dan perevolusian.
Hasil dapatan dibahagi kepada lima bahagian iaitu populasi bumiputera, jurang kemiskinan, jurang pekerjaan serta siswazah, pengangguran dan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Hasil perbincangan telah mendapatkan penyelesaian atau resolusi iaitu membentuk dasar yang mewujudkan persekitaran baharu yang mengubah dan membentuk sikap bumiputera yang mementingkan pendidikan serta bertanggungjawab bagi meningkatkan kecemerlangan ekonomi.
Kewujudan dasar bagi memastikan semua bentuk bantuan dan insentif pendidikan sentiasa mementingkan penduduk bumiputera agar tidak terpinggir.
Sebagai contoh, pemberian insentif kepada isi rumah miskin yang berdasarkan kehadiran anak ke sekolah.
Selain itu, meningkatkan kepentingan dan capaian bumiputera untuk memperoleh pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan sistem pendidikan awal kanak- kanak.
Sebagai contoh, membentuk kurikulum prasekolah kebangsaan mengikut umur kanak- kanak berdasar ketepatan mengikut piawaian yang bersesuaian.
Memastikan para pendidik prasekolah sentiasa terlatih dengan kemahiran yang bersesuaian dengan kelayakan yang terjamin.
Seterusnya, mempertingkat kualiti pendidikan Islam di dalam ekosistem pendidikan negara. Sebagai contoh, menyelaraskan sistem pendidikan dengan peluang pekerjaan yang lebih tinggi dalam menjamin pelajar bumiputera yang berada dalam institusi pendidikan Islam.
Berdasarkan konteks dan strategi yang dicadangkan diharapkan tindakan pantas dilakukan bagi memastikan jaminan yang lebih tinggi kepada golongan bumiputera.
TVET pilihan kerjaya utama
Pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional semakin menjadi rebutan dengan peluang pekerjaan yang tinggi dalam industri pada masa kini.
Penegasan pendidikan TVET perlu dilakukan bagi memastikan graduan sentiasa terlatih dan berkualiti menurut YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hasil dapatan telah dikenalpasti berdasarkan objektif yang ditetapkan. Fokus yang pertama merupakan meningkatkan tenaga kerja profesional dan kompeten bumiputera berasaskan TVET.
Pelaksanaan program TVET yang berkualiti telah membangunkan sebuah program yang dipanggil sebagai Code of Practice for TVET Programmer Accreditation (COPTA).
Program ini diselia oleh dua buah agensi iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Fokus yang kedua ialah meningkatkan penglibatan bumiputera dalam kerjaya berkemahiran dan berpendapatan tinggi.
Berdasarkan statistik profesional bumiputera yang berdaftar tahun 2023 golongan bumiputera bidang profesional seperti jururawat dan peguam masing- masing berjumlah 117,973 dan 9,436 dimana jumlah tersebut tidak sampai separuh daripada jumlah keseluruhan masyarakat yang menyertai bidang tersebut.
Oleh itu, kerajaan akan memperkasakan ekosistem ekonomi yang mengawal rantaian bekalan yang dikuasai oleh bumiputera bagi memecahkan monopoli.
Seperti contoh, menetapkan kuota minimum pekerjaan untuk bumiputera dalam syarikat baharu.
Selain itu, inisiatif digitalisasi dalam TVET turut ditekankan. Kerajaan memperkenalkan pembelajaran berasaskan teknologi seperti penggunaan realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR) dalam latihan kemahiran.
Kaedah ini memberikan pelajar pengalaman praktikal yang lebih interaktif dan realistik, sekaligus membantu mereka memahami proses industri dengan lebih mendalam.
Pelaksanaan digitalisasi ini dilihat mampu menarik minat golongan muda yang lebih cenderung kepada teknologi moden.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan TVET, pelbagai kempen promosi telah dijalankan di peringkat sekolah dan komuniti.
Pelajar sekolah menengah, terutamanya yang kurang berminat dengan laluan akademik tradisional, digalakkan untuk mempertimbangkan TVET sebagai alternatif.
Guru kaunselor juga memainkan peranan penting dalam memberi maklumat mengenai peluang kerjaya yang menanti mereka melalui program TVET.
Kesimpulan
Kerangka Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 merupakan kesinambungan usaha kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi bumiputera.
Pelbagai dasar dan strategi telah diperkenalkan, termasuk Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN), untuk memastikan bumiputera tidak hanya terlibat dalam sektor ekonomi tetapi juga mampu bersaing dalam industri berpendapatan tinggi.
KEB 2024 memperlihatkan komitmen kerajaan dalam melibatkan semua pihak berkepentingan melalui sesi libat urus seperti Kongres Ekonomi Bumiputera.
Ini membuktikan bahawa pendekatan yang inklusif dan adil diperlukan untuk memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus relevan dan mampu menangani cabaran semasa seperti jurang ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.
Selain itu, usaha reformasi dalam pendidikan dan pemerkasaan TVET sebagai pilihan kerjaya utama adalah langkah penting untuk melahirkan modal insan berkualiti yang kompetitif.
Keutamaan diberikan kepada peningkatan kualiti pendidikan awal, pelaksanaan kurikulum yang sesuai dan latihan guru yang kompeten untuk membina asas kukuh generasi muda bumiputera.
Dalam sektor TVET, langkah memperkenalkan akreditasi seperti COPTPA serta penetapan kuota pekerjaan minimum bagi bumiputera menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memecahkan monopoli ekonomi dan meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor berkemahiran tinggi.
Dengan strategi ini, diharapkan bumiputera akan mencapai tahap kecemerlangan ekonomi yang mampan, setanding dengan masyarakat lain, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.
Keberkesanan pelaksanaan dasar ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat bumiputera itu sendiri.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Muhamad Amir Muhaimin Muhammad Amirul Mukminin
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my