Usaha untuk mempercepatkan pembangunan kegiatan ekonomi di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar, adalah amat penting kerana ia menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial negara secara keseluruhan.
Hal ini disebabkan oleh keadaan di kawasan luar bandar yang lazimnya menghadapi tahap infrastruktur yang rendah, akses yang terhad kepada perkhidmatan asas serta pendapatan penduduk yang lebih rendah berbanding kawasan bandar.
Oleh itu, adalah penting untuk menilai dan melaksanakan langkah-langkah strategik bagi mengatasi jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif dapat dicapai secara berterusan.
Di samping itu, masyarakat Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar dapat dicapai dengan berkesan.
Salah satu cabaran utama adalah pergantungan penduduk luar bandar terhadap sektor tradisional seperti perikanan, perhutanan dan pertanian.
Golongan ini sering terdedah kepada risiko perubahan iklim, kekurangan aset teknologi moden, turun naik harga komoditi dan ketinggalan dalam penggunaan teknologi terkini.
Tambahan pula, akses yang terhad kepada pasaran menyukarkan mereka untuk menjalankan aktiviti jual beli serta memasarkan produk mereka di pasaran domestik.
Penduduk luar bandar juga menghadapi masalah kewangan dan kekurangan infrastruktur yang mantap, yang secara langsung menghalang perkembangan ekonomi mereka daripada sejajar dengan perubahan dan keperluan ekonomi semasa.
Dalam pada itu, terdapat banyak faktor dan sebab yang boleh memberi sumbangan kepada kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan di kawasan luar bandar di negara kita Malaysia.
Antara sebab utama yang dapat dilihat adalah kurangnya infrastruktur atau pembangunan seperti jalan raya, lebuh raya, bekalan elektrik dan air, tandas awam, pasaraya besar serta pasar.
Situasi kekurangan infrastruktur di kawasan luar bandar ini bukan sahaja menghalang pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar tetapi telah menyebabkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan juga turut terjejas.
Seterusnya, usahawan luar bandar sukar untuk membuat pelaburan dalam perniagaan mereka dan memajukan operasi perniagaan mereka ke peringkat yang lebih besar kerana akses yang terhad terhadap perkhidmatan kewangan dan kemudahan kredit.
Tambahan pula, kekurangan penggunakan teknologi moden yang canggih dan terkini di kawasan luar bandar turut memberi halangan kepada keadaan ekonomi di kawasan tersebut untuk berkembang dan maju.
Selanjutnya, kawasan luar bandar ini juga mungkin tidak dapat capaian internet sekali gus menyebabkan kesukaran kepada syarikat-syarikat yang mahu beroperasi kerana mereka perlu menggunakan teknologi terkini misalnya komputer, wifi, laman web dan lain-lain untuk beroperasi.
Hal ini dikatakan sedemikian adalah kerana penggunaan laptop dan komputer perlu kepada capaian internet.
Oleh itu, kerajaan telah sedar dan mengambil langkah yang proaktif dan sewajarnya keperluan untuk menangani jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai polisi dan inisiatif yang tertentu bagi meningkatkan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar.
Pihak kerajaan juga turut telah memperkenalkan program-program khusus bagi memberi sokongan kepada pemodenan pertanian, pembangunan keusahawanan dan latihan kepada masyarakat luar bandar.
Pertumbuhan ekonomi luar bandar
Dalam pada itu, pemerkasaan komuniti luar bandar sangat penting untuk memastikan dan mempercepatkan pertumbuhan dan perkembangan ekonomi kawasan luar bandar di negara kita Malaysia.
Keadaan ini boleh dicapai dipercepatkan melalui intervensi terpilih misalnya menyediakan akses terhadap program bersifat pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran modal insan kepada penduduk luar bandar.
Hal ini dikatakan sedemikian kerana apabila penduduk ini mempunyai taraf pendidikan yang tinggi, mereka mampu untuk berfikir secara mendalam dan efektif dalam sesuatu perkara yang mahu dilaksanakan.
Pihak kerajaan perlu membina lebih banyak sekolah, universiti dan Intitusi Latihan Perindustrian di kawasan luar bandar supaya anak-anak golongan masyarakat luar bandar ini tidak tercicir dalam pembelajaran.
Jadi secara tidak langsung apabila anak-anak penduduk luar bandar ini sudah dewasa dan mempunyai pekerjaan secara tidak langsung ianya mampu untuk menjana ekonomi di kawasan luar bandar.
Selain itu, menggalakkan keusahawanan dan memudahkan kemasukan ke pasaran membolehkan masyarakat luar bandar mempelbagaikan aktiviti ekonomi yang mereka usahakan bagi menjana pendapatan dan keuntungan yang berganda.
Pihak kerajaan tempatan memberi galakan kepada usahawan luar bandar ini untuk melakukan aktiviti keusahawanan dan memudahkan ahli usahawan yang baru untuk masuk ke pasaran untuk menjalankan urusan jual beli dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi perdagagan yang mereka usahakan.
Kerajaan juga boleh mempercepatkan dana atau pinjaman yang usahawan ini mahu pinjam. Tambahan pula, pihak kerajaan tempatan juga boleh menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi dalam perusahaan luar bandar bagi meningkat daya saing serta produktiviti mereka.
Di samping itu, aktiviti yang paling penting di kawasan luar bandar semestinya ialah aktiviti pertanian yang kekal dan menjadi teras sebagai sektor ekonomi terpenting di sana.
Malaysia sebagai sebuah negara yang menggalakkan amalan pertanian mampan sangat sesuai dan dapat memberi sumbangan kepada kemajuan ekonomi kawasan luar bandar.
Hal ini dikatakan begitu adalah kerana penggunaan teknik pertanian moden serta mewujudkan kepelbagaian tanaman industri asas tani dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk luar bandar.
Sementara itu, dengan menghubungkan petani dan pekebun kecil ini ke dalam rantaian nilai serta menyediakan hubungan antara pasaran sekaligus langkah ini mampu memberikan impak yang positif apabila dapat meningkatkan pendapatan dan ekonomi secara keseluruhan.
Seterusnya, pelaburan dalam pembangunan infrastruktur juga turut menyumbang pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.
Contohnya, peningkatan kesalinghubungan jalan raya, meningkatkan proses hubungan digital boleh membantu memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dari satu tempat ke tempat yang lain, memperluas akses kepada perkhidmatan air bersih dan elektrik untuk semua penduduk dan menarik pelaburan asing bagi meningkatkan lagi kualiti penduduk masyarakat luar bandar secara mampan.
Pada waktu yang sama juga pelaburan yang dilaburkan dalam sektor kesihatan juga penting bagi menjaga kemudahan penjagaan kesihatan.
Pelaburan dalam institusi pendidikan juga penting bagi melahirkan modal insan yang profesional dan matang dalam berfikir dalam kalangan penduduk luar bandar.
Dalam pada itu, akses kepada kemudahan kewangan dan kredit juga penting kepada usahawan luar bandar kerana usahawan ini mahu membuat pelaburan dalam perniagaan yang mereka usahakan dan mengejar peluang ekonomi.
Celik kewangan
Untuk memenuhi keperluan perniagaan luar bandar seperti kredit mikro, pinjaman pertanian dan sokongan pelaburan, kerajaan dan institusi kewangan boleh bekerjasama untuk membuat produk kewangan yang disesuaikan.
Menggalakkan kesedaran kewangan dan menyediakan bantuan teknikal boleh membantu usahawan luar bandar menguruskan perniagaan mereka dan membuat pilihan kewangan yang bijak.
Keadaan ini dikatakan begitu adalah kerana kerajaan perlu menyediakan sebarang bantuan teknikal misalnya bantuan kenderaan sementara, bantuan tempat jualan sementara dan sebagainya.
Jadi, usahawan luar bandar ini akan berasa mudah untuk menjalankan perniagaan yang diusahakan oleh mereka dan tidak bimbang dengan sebarang isu berbangkit kerana adanya jaminan, sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar Malaysia, adalah perlu untuk mengambil pelbagai pendekatan yang menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar.
Malaysia boleh membuka potensi ekonomi kawasan luar bandar dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, memperkuatkan komuniti luar bandar, menggalakkan pertanian mampan dan meningkatkan akses kepada kewangan.
Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk bekerjasama melaksanakan intervensi bersasar yang akan meningkatkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar.
Rakyat Malaysia hanya boleh menjadikan negaranya lebih saksama dan makmur melalui usaha bersepadu dan pelaburan mampan.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Luqman Nur Hakim Awang
2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my